Hizbollah tidak akan menyerah kalah kepada Israel - Utusan Malaysia

Hizbollah tidak akan menyerah kalah kepada Israel

ASKAR unit artileri Israel ditempatkan di kedudukan di Galilee Atas di utara Israel berhampiran sempadan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Ketua Hizbollah, Naim Qassem berkata bahawa rundingan dengan Israel ketika serangan masih berlaku akan dianggap sebagai ‘penyerahan’ ketika kumpulan yang disokong Iran itu melancarkan serangan.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika  Israel menyatakan ia sedang memperluaskan zon penampan di dalam Lubnan..

Qassem berkata bahawa kumpulannya tidak akan melakukan rundingan dengan Israel.

“Apabila rundingan dengan musuh Israel dicadangkan ketika serangan masih berlangsung, ia merupakan pemaksaan penyerahan,” katanya.

Konflik melibatkan Lubnan tercetus selepas Hizbollah melancarkan serangan roket ke Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Israel terus meningkatkan operasi ketenteraan di selatan Lubnan dengan menghantar tentera darat untuk menguasai kawasan sehingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer (km) dari sempadan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tenteranya mewujudkan ‘zon keselamatan sebenar’ dan kini sedang memperluaskannya dengan mara lebih jauh ke dalam wilayah Lubnan.

Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan mewujudkan zon penampan lebih besar bagi menghalang pencerobohan darat serta serangan peluru berpandu ke atas Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Hezbollah mendakwa melancarkan beberapa serangan ke atas tentera Israel dan turut melancarkan peluru berpandu ke sasaran ketenteraan di tengah Israel sehingga  mencetuskan siren amaran serangan udara.

Media Israel melaporkan enam roket yang dilancarkan ke kawasan tengah negara itu berjaya dipintas sepenuhnya oleh sistem pertahanan udara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa Israel dan Hizbollah melaksanakan gencatan senjata segera, sambil memberi amaran agar Israel tidak meniru ‘model Gaza’ di selatan Lubnan yang boleh mencetuskan perpindahan besar-besaran penduduk.

Hizbollah memaklumkan, pihaknya melancarkan lebih 80 serangan pada Rabu, jumlah tertinggi dalam sehari sejak konflik semasa bermula, termasuk menyasarkan tentera Israel di sembilan bandar sempadan.

Tentera Israel pula melaporkan seorang anggotanya cedera parah akibat serangan roket di selatan Lubnan, selepas seorang pegawai dilaporkan cedera ringan dalam pertempuran.

Dalam perkembangan lain, roket yang dilancarkan ke arah kawasan Haifa di utara Israel tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Dalam usaha menamatkan pertempuran, Presiden Lubnan menggesa rundingan langsung yang belum pernah berlaku dengan Israel, namun cadangan itu setakat ini ditolak. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN