Iran tolak berunding dengan AS - Utusan Malaysia

Iran tolak berunding dengan AS

ANGGOTA perkhidmatan kecemasan Israel berkumpul di lokasi serangan misil Iran di Tel Aviv, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN/WASHINGTON/ISLAMABAD: Iran sekali lagi menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung Washington sedang berunding untuk menamatkan perang yang menjejaskan pasaran tenaga dan kewangan global.

Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam pada Rabu berkata bahawa tiada sebarang perbincangan antara Washington dan Teheran, selepas Trump mendedahkan kemajuan dalam usaha diplomatik untuk mengakhiri perang.

“Kami juga mendengar butiran sebegini melalui media, tetapi menurut maklumat saya  dan bertentangan dengan dakwaan Trump,  setakat ini tiada sebarang rundingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah berlaku antara kedua-dua negara,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Beliau menambah bahawa adalah menjadi kebiasaan bahawa negara-negara yang bersahabat sentiasa terlibat dalam perundingan dengan kedua-dua pihak untuk mengakhiri pencerobohan yang tidak sah itu..

BERUNDING

Teheran turut menyifatkan AS sebenarnya sedang ‘berunding dengan diri sendiri’, lapor televisyen negara Iran.

Kepimpinan Iran sebelum ini menyatakan mereka tidak boleh berunding dengan AS kerana Washington menyerang negara itu dua kali ketika rundingan peringkat tinggi berlangsung dalam tempoh dua tahun lalu.

Memasuki minggu keempat perang  yang mengorbankan lebih 1,400 orang dan mencetuskan kejutan tenaga terburuk dalam sejarah dan kebimbangan inflasi global, serangan udara antara Iran serta Israel terus berlanjutan pada Rabu tanpa petanda akan reda.

Tentera Israel mendakwa melancarkan gelombang serangan menyasarkan infrastruktur di Teheran, manakala agensi berita Iran melaporkan kawasan kediaman turut terjejas dengan pasukan penyelamat mencari mangsa-mangsa di bawah runtuhan.

Kuwait dan Arab Saudi pula melaporkan berjaya menangkis serangan dron baharu, manakala dron turut menyasarkan tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, mencetuskan kebakaran tanpa korban jiwa.

Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran turut melancarkan serangan baharu ke atas beberapa lokasi di Israel termasuk Tel Aviv dan Kiryat Shmona, selain menyasarkan pangkalan tentera AS di Kuwait, Jordan serta Bahrain.

Sebelum ini, Trump mendakwa, rundingan sedang berlangsung dengan pihak yang ‘sesuai’ di Iran untuk menamatkan konflik, sambil menyatakan Teheran mahu mencapai perjanjian.

Pasaran global menunjukkan reaksi positif apabila saham meningkat dan harga minyak menurun susulan laporan AS mencadangkan gencatan senjata selama sebulan serta menghantar pelan 15 perkara kepada Iran bagi membuka jalan kepada rundingan.

Menurut laporan akhbar New York Times, pelan 15 perkara itu dihantar Washington kepada Teheran sebagai usaha menamatkan perang di Asia Barat.

PELAN 15 PERKARA

Menurut media Israel, Channel 12, sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan Washington mengemukakan pelan tersebut kepada Teheran, namun tidak memperincikan kandungannya.

Laporan itu berkata, pelan berkenaan merangkumi pembubaran program nuklear Iran, penamatan sokongan terhadap kumpulan proksi seperti Hizbollah di Lubnan serta pembukaan semula Selat Hormuz.

AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari selepas mendakwa rundingan untuk menamatkan program nuklear Teheran gagal mencapai kemajuan mencukupi, meskipun Oman sebagai pengantara menyatakan perkembangan ketara dicapai.

Sejak operasi ketenteraan AS, Iran meningkatkan serangan terhadap negara yang menempatkan pangkalan tentera AS, menyasarkan infrastruktur tenaga di Teluk dan secara efektif menutup Selat Hormuz.

Bagaimanapun, Teheran membenarkan kapal ‘bukan musuh’ melalui selat itu dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa Iran.

Penutupan laluan strategik itu mencetuskan kejutan bekalan tenaga terbesar dalam sejarah, melonjakkan harga bahan api serta mengganggu sektor penerbangan global.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, beliau bersedia menjadi tuan rumah rundingan antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik, sehari selepas Trump menangguhkan ancaman mengebom loji tenaga Iran susulan rundingan yang disifatkannya sebagai ‘produktif’.

Pakistan mempunyai hubungan yang lama dengan Iran dan pada masa sama mengukuhkan hubungan dengan pentadbiran Trump.

Walaupun terdapat laporan mengenai usaha rundingan, Pentagon dijangka menghantar ribuan anggota Divisyen Airborne ke-82 Tentera Darat AS ke Asia Barat, menurut sumber.

Pertambahan itu akan melibatkan kekuatan sedia ada sekitar 50,000 askar AS di rantau berkenaan dan mempercepatkan peningkatan kehadiran tentera Washington dan mencetuskan kebimbangan konflik berpanjangan.

AS KEMUKA PELAN LAMA

Rangka pelan 15 perkara untuk perdamaian dengan Iran yang didakwa sedang dibincangkan oleh Trump didakwa berasaskan cadangan yang dikemukakan pasukan rundingannya semasa perbincangan nuklear hampir setahun lalu, menurut diplomat yang mengetahui perbincangan itu, lapor akhbar The Guardian.

Pelan 15 perkara asal itu menjadi asas rundingan pada penghujung Mei 2025, beberapa minggu sebelum rundingan gagal akibat serangan udara Israel ke atas program nuklear Iran.

Terdapat banyak spekulasi mengenai kandungan pelan terbaharu Trump dan sejauh mana ia dikemas kini berbanding dokumen lama yang dikemukakan AS kepada Iran tahun lalu.

Kebarangkalian pelan itu hanya pengulangan perkara yang tidak diterima Iran setahun lalu menunjukkan sama ada kurangnya keseriusan AS terhadap rundingan yang dirancang minggu ini.

Iran menuduh Trump cuba menenangkan pasaran AS  dengan menyatakan beliau menangguhkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran pada malam Isnin, selama lima hari, bagi memberi ruang untuk melihat sama ada ’15 perkara persetujuan’ dapat dicapai.

Sebahagian daripada 15 perkara yang dirangka pada 2025 mungkin dianggap sudah lapuk kerana terdapat tiga pusingan rundingan tambahan pada 2026, sementara program nuklear Iran, terutama tapak pengayaan uranium utama, musnah akibat serangan udara AS.

Beberapa diplomat yang rapat dengan rundingan berkata mereka tidak percaya dokumen baharu AS yang berbeza secara radikal dan walaupun AS sedang menyusun pelan sedemikian, ia belum lagi dikemukakan kepada Iran apatah lagi mendapat persetujuan mereka.

Pelan 15 perkara yang dicadangkan AS pada Mei 2025, digambarkan sebagai ‘lembaran terma’, mengandungi pelbagai cadangan yang sukar diterima Iran, termasuk sekatan terhadap penggunaan dana yang dibebaskan selepas penggantungan sekatan.

Pelan itu hanya menjanjikan pengakhiran sekatan berkaitan nuklear dan bukan semua sekatan termasuk yang berkaitan hak asasi manusia.

SEKATAN

AS mencadangkan dana yang dibebaskan daripada sekatan tidak boleh digunakan untuk membiayai program peluru berpandu balistik Iran. 

Semua simpanan uranium Iran perlu dihantar keluar serta diturunkan tahap pengayaan uranium kepada 3.67 peratus. Kesemua kemudahan pengayaan uranium perlu dihapuskan dalam masa sebulan, manakala pengempar sejuk berkelajuan tinggi akan dijadikan tidak beroperasi. 

AS juga menawarkan dana bagi program nuklear sivil baharu Iran dengan tapak bahan api di luar negara dan diawasi oleh pengawas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Menteri menteri luar Kumpulan Tujuh Negara (G7) dijangka membincangkan ‘kebijakan’ AS menyerang Iran di Paris, Perancis.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN