JAKARTA: Indonesia tidak akan menaikkan harga bahan api walaupun tekanan terhadap bajet semakin meningkat akibat perang di Asia Barat.
Satu kenyataan kerajaan yang dihantar kepada AFP menyatakan bahawa tiada kenaikan harga bagi bahan api subsidi atau tidak bersubsidi mulai esok.
Orang ramai diminta supaya tidak panik terhadap maklumat palsu yang tersebar mengenai kemungkinan kenaikan harga.
“Kami berharap orang ramai tidak panik atau berasa cemas kerana kami menjamin bekalan bahan api. Kami menjaminnya dan tiada pelarasan harga,” menurut kenyataan itu yang memetik jurucakap presiden, Prasetyo Hadi.
Indonesia, walaupun merupakan negara pengeluar minyak, masih merupakan pengimport bersih dan memberikan subsidi besar bagi bahan api serta gas asli untuk pengguna domestik.
Kerajaan terus mempertahankan subsidi tersebut, yang bernilai AS$12.3 bilion (RM49 bilion) , bersamaan kira-kira lima peratus daripada jumlah bajet tahunan 2026.
Namun, pemerhati berkata kerajaan mungkin akhirnya terpaksa bertindak memandangkan Indonesia diwajibkan oleh undang-undang untuk mengekalkan defisit fiskal di bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pengiraan subsidi bahan api bagi tahun 2026 dibuat berdasarkan harga minyak global sebanyak AS$70 (RM283) tong, tetapi harga kini telah melebihi AS$100 (RM404) setong.
Prasetyo menyatakan pada Selasa bahawa kerajaan menjamin ketersediaan bahan api untuk orang ramai pada harga yang berpatutan.
Sebelum ini, kenaikan harga bahan api pernah menyebabkan rusuhan besar-besaran di Indonesia. – AFP










