Imamoglu berdepan perbicaraan rasuah, hukuman penjara 2,430 tahun

Imamoglu berdepan perbicaraan rasuah, hukuman penjara 2,430 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Datuk Bandar Istanbul yang kini berada dalam tahanan, Ekrem Imamoglu, hadir ke mahkamah sebagai defendan utama dalam satu perbicaraan rasuah besar-besaran yang didakwa pihak pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia sebagai bermotifkan politik.

Imamoglu, 55, berhadapan dengan lebih 140 pertuduhan termasuk rasuah dan mengendalikan organisasi jenayah. Pihak pendakwa raya kini menuntut hukuman penjara sehingga 2,430 tahun terhadap beliau.

Beliau bersama Parti Rakyat Republikan (CHP) menafikan sebarang salah laku dan sebaliknya menuduh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta sekutunya melancarkan tindakan keras ini susulan kemerosotan populariti pemimpin negara tersebut.

Sebelum ditahan, Imamoglu dilihat sebagai antara segelintir ahli politik yang mampu menewaskan Erdogan, yang telah mendominasi politik Turkiye sejak tahun 2003.

Selain Imamoglu, seramai 407 penyokong beliau turut dibicarakan atas tuduhan menjalankan rangkaian rasuah jenayah yang diketuai oleh tokoh pembangkang berkenaan, yang disifatkan oleh pendakwa raya sebagai pengasas dan pemimpin rangkaian tersebut.

Perbicaraan yang bermula di Penjara Marmara pada Isnin itu dicemari kekecohan apabila hakim terpaksa menghentikan prosiding hanya selepas 15 minit bermula.

Ini berlaku selepas Imamoglu membantah keputusan hakim untuk mendengar testimoni defendan lain sebelum keterangannya sendiri.

Hakim menyifatkan bantahan tersebut sebagai tidak menghormati mahkamah dan mengarahkan sesi ditangguhkan sehingga petang.

Imamoglu sebelum ini ditangkap pada Mac tahun lalu, tepat pada hari beliau dinamakan sebagai calon Presiden bagi parti CHP untuk pilihan raya 2028.

Penahanan beliau telah mencetuskan protes jalanan terbesar di Turkiye dalam tempoh lebih sedekad yang membawa kepada ratusan tangkapan dan tindakan keras oleh pihak polis.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN