TOKYO: Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersedia mengeluarkan tambahan rizab minyak jika keadaan memerlukan susulan perang Iran di Asia Barat.
Kenyataan Ketua IEA, Fatih Birol, itu dibuat di Tokyo semalam selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, meminta agensi berkenaan bersedia melaksanakan pelepasan tambahan sekiranya situasi perang di rantau itu berlarutan.
Sebelum ini, IEA mengumumkan pengeluaran 400 juta tong minyak daripada rizab negara anggota agensi tersebut bagi mengurangkan tekanan pasaran yang merupakan jumlah terbesar pernah dilaksanakan.
Bagaimanapun, Birol menegaskan stok masih mencukupi dengan sekitar 80 peratus rizab belum digunakan.
“(Sebanyak) 400 juta tong itu hanya 20 peratus daripada keseluruhan simpanan. Jika dan apabila perlu, kami bersedia untuk meneruskan, tetapi saya berharap ia tidak diperlukan.
“Dunia sedang menghadapi ancaman keselamatan tenaga yang serius, tetapi (IEA) bersedia untuk memainkan peranan utama sebagai penjaga keselamatan tenaga global,” katanya.
Jepun bergantung kepada Asia Barat untuk 95 peratus import minyaknya.
Negara itu melepaskan rizab petroleum sektor swasta selama 15 hari minggu lalu dan mula menggunakan stok simpanan kerajaan pada Khamis.
Takaichi berkata, Tokyo turut merancang mengeluarkan stok simpanan minyak bersama dengan beberapa negara menjelang akhir bulan ini.
Menurut Persatuan Petroleum Jepun, rizab bersama itu melibatkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
Dalam keadaan biasa, minyak tersebut digunakan untuk tujuan komersial, namun ketika kecemasan, syarikat minyak Jepun mempunyai keutamaan untuk membelinya.- AFP











