Hizbollah tidak akan menyerah kalah pencerobohan Israel-AS - Utusan Malaysia

Hizbollah tidak akan menyerah kalah pencerobohan Israel-AS

SEBUAH ambulans diletakkan berhampiran kebakaran besar susulan serangan pengeboman Israel ke atas ladang solar dan kemudahan penjanaan elektrik di bandar Tyre, selatan Lubnan, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hizbollah tekad menentang pencerobohan Israel-Amerika Syarikat (AS) dan tidak akan menyerah kalah walaupun terdapat ketidakseimbangan dalam keupayaannya dalam melawan kedua-dua kuasa besar itu.

Perkara tersebut ditekankan pemimpin Hizbollah, Naim Qassem dalam ucapan pertamanya sejak kumpulan disokong Iran itu melancarkan roket ke arah Israel pada Isnin dan mencetuskan kempen pengeboman di Lubnan.

“Kami sedang berdepan pencerobohan. Pilihan kami adalah untuk menghadapinya sehingga pengorbanan muktamad dan kami tidak akan menyerah kalah,” katanya.

Qassem menolak dakwaan partinya memulakan pusingan pertempuran terkini itu.

“Apa yang dilakukan Israel selepas serangan roket itu bukannya tindak balas. Ia adalah pencerobohan yang dirancang lebih awal.

“Hizbollah sedang bertindak balas terhadap pencerobohan Israel-Amerika dan ini adalah hak yang sah,” katanya.

Perang di Asia Barat itu merebak ke Lubnan pada Isnin, manakala Israel memaklumkan tenteranya memasuki beberapa bandar dan kampung di selatan negara tersebut.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan kempen Israel meragut sekurang-kurangnya 72 nyawa dan memindahkan lebih 83,000 penduduk di kawasan selamat.

Bilangan korban dilaporkan meningkat menjelang malam kelmarin, dengan sekurang-kurangnya tiga lagi mangsa terbunuh di selatan Beirut.

Kerajaan Lubnan mengumumkan larangan segera terhadap aktiviti ketenteraan Hizbollah dan menuntut parti itu melucutkan senjata, beberapa bulan selepas mereka bersetuju pelucutan senjata secara berperingkat.

Dalam ucapan kelmarin, Naim turut mengkritik keputusan terbaharu kerajaan Lubnan dan mempertahankan serangan itu demi mempertahankan hak rakyatnya.

“Daripada kerajaan Lubnan bergerak untuk mengutuk pencerobohan Israel-Amerika dan mencari jalan untuk menghadapinya, ia sebaliknya berpaling terhadap penentangan untuk melengkapkan kesilapannya dan selari dengan tuntutan Israel.

“Isu penentangan bukan perkara untuk dipertikaikan sesiapa. Ia adalah hak yang sah. Kami berjuang di Lubnan untuk mempertahankan rakyat kami, masa depan anak-anak dan negara kami,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN