Harga sewa jet naik kerana perang Iran - Utusan Malaysia

Harga sewa jet naik kerana perang Iran

GAMBAR fail sebuah pesawat ringan. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSCAT: Harga sewaan jet peribadi dari Muscat, Oman melonjak naik hampir tiga kali ganda akibat permintaan terlalu tinggi dan kesukaran mendapatkan pesawat di rantau Asia Barat yang sedang bergolak itu.

Serangan Iran ke atas Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan penutupan lapangan terbang antarabangsanya telah mencetuskan suasana cemas dalam kalangan golongan kaya.

Mereka kini berebut-rebut untuk meninggalkan UAE melalui laluan alternatif menggunakan jet peribadi.

Syarikat broker jet peribadi, JetVip yang berpangkalan di Muscat, memberitahu akhbar The Guardian bahawa penerbangan ke Istanbul, Turkiye menggunakan jet terkecil kini mencecah kos kira-kira €85,000 (RM390,577), iaitu hampir tiga kali ganda berbanding kadar biasa. 

Malah, tiket  jet sewaan khas ke Moscow dijual pada harga kira-kira €20,000 (RM91,900) untuk seorang.

Beberapa syarikat jet peribadi menyatakan mereka tidak dapat menghantar pesawat buat masa ini. 

Firma sewaan berpangkalan di Austria, AlbaJet, menyatakan bekalan pesawat mereka sangat terhad dan menawarkan penerbangan ke Eropah pada harga sekitar €90,000 (RM413,672).

“Banyak pengendali pesawat enggan melakukan penerbangan kerana syarat insurans dan keputusan pemilik. Jadi, permintaan sangat tinggi, tetapi bekalan sangat sedikit,” kata wakil firma itu.

Sebahagian penduduk dan pelancong di Dubai mula menuju ke Oman melalui jalan darat selama empat jam setengah, memandangkan Lapangan Terbang Muscat masih beroperasi walaupun mengalami sedikit kelewatan. 

Bagi mereka yang mempunyai bajet lebih rendah, pilihan lain adalah dengan memandu selama 10 jam ke Riyadh, Arab Saudi, di mana lapangan terbang di sana masih beroperasi secara normal. 

Ketua Pegawai Eksekutif Vimana Private Jets, Ameerh Naran memaklumkan bahawa kos penerbangan dari Riyadh ke Eropah kini boleh mencecah sehingga AS$350,000 (RM1.37 juta). – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN