KAHERAH: Hamas telah mengadakan perbincangan pertama dengan Lembaga Keamanan yang baru ditubuhkan di bawah pimpinan Amerika Syarikat (AS) kerana rancangan pemulihan Gaza pasca perang kini berada di bawah tekanan akibat perang Iran dan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Lembaga Keamanan, sebuah badan antarabangsa yang dianggotai lebih 12 negara secara rasmi ditubuhkan pertengahan Januari sebagai sebahagian daripada peta jalan keamanan Gaza oleh Presiden AS, Donald Trump.
Menurut Reuters, memetik sumbernya pada Isnin, mesyuarat berkenaan berlangsung pada penghujung minggu lalu di lokasi yang tidak didedahkan di rantau tersebut dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan elemen-elemen inisiatif Trump, termasuk gencatan senjata jangka panjang dan program pemulihan yang diawasi oleh lembaga itu.
Perbincangan itu digambarkan sebagai peringkat awal dan tiada kejayaan konkrit diumumkan.
Pegawai-pegawai Hamas dilaporkan menggunakan pertemuan itu untuk menuntut pembukaan semula laluan Rafah di Gaza dengan Mesir, yang ditutup oleh Israel selepas serangan udara ke atas Iran.
Kumpulan itu juga dilaporkan memberi amaran bahawa jika Rafah terus ditutup dan akses kemanusiaan tidak dipulihkan, mereka mungkin menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata.
Walaupun gencatan senjata rasmi yang menamatkan perang dua tahun Israel di Gaza pada Oktober tahun lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan terus melancarkan serangan.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Ahad, menambah jumlah korban selepas gencatan senjata kepada lebih 600 orang. Secara keseluruhan, angka korban melebihi 72,000 orang, menurut pegawai kesihatan di wilayah itu.
Perang Gaza tercetus selepas pejuang-pejuang yang dipimpin oleh Hamas melancarkan serangan ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menawan lebih 250 tebusan.
Israel bertindak balas dengan kempen serangan udara dan darat berskala besar dan sekatan yang mengehadkan bekalan makanan, bahan api serta perubatan sehingga mencetuskan tuduhan genosid.
Dalam mesyuarat sulungnya bulan lalu, Lembaga Keamanan yang dipelopori oleh Trump berjanji untuk menyediakan lebih AS$7 bilion (RM27 bilion) bagi membina semula Gaza dan merancang untuk menghantar ribuan anggota keselamatan pasukan penstabilan antarabangsa serta polis di wilayah tersebut. – AGENSI










