PULAU RÉUNION: Rakaman video yang luar biasa berjaya merakam detik lava dari sebuah gunung berapi di pulau milik Perancis mencecah air lautan buat kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad.
Sejak gunung berapi Piton de la Fournaise di Pulau Réunion, Lautan Hindi, meletus bulan lalu, batuan cair itu telah merayap perlahan-lahan menuju ke arah pesisir pantai.
Sebaik sahaja lava yang membara itu bersentuhan dengan air laut, ia menukarkan air menjadi wap yang menyelubungi pulau tersebut dengan suasana mistik.
Batuan yang membeku pula mula mengeras dan secara tidak langsung menambah keluasan saiz pulau itu.
Fenomena semula jadi yang memukau ini telah menarik kehadiran orang ramai yang sanggup meredah perjalanan sukar demi menyaksikan kejadian yang tidak pernah dilihat di pulau itu sejak 19 tahun lalu.
Seorang penduduk tempatan, Pierre Dubois, memberitahu Euro News bahawa apa yang dilihat di situ adalah penyatuan batuan baharu yang terbentuk dan penciptaan bumi itu sendiri.
“Lava ini menghempas lautan, seolah-olah membelainya, dan kita melihat kedua-duanya benar-benar bersatu,” katanya.
Pakar vulkanologi kini sedang giat bekerja di lapangan bagi memahami evolusi letusan tersebut. Mereka menggunakan dron dan termometer yang diletakkan terus pada lava untuk menjejak aliran serta mengukur suhunya.
Timbalan Pengarah agensi gunung berapi tempatan, Zacharie Duputel, berkata, letusan kali ini adalah luaebiasa kerana adtempohnya yang agak lama.
“Walaupun pernah ada letusan yang lebih lama sebelum ini, namun berbeanding letusan kebelakangan ini, kali ini ia cukup signifikan dan itulah sebabnya ia akhirnya berjaya sampai ke lautan,” katanya. – AGENSI










