Gabenor Florida luluskan lapangan terbang guna nama Trump - Utusan Malaysia

Gabenor Florida luluskan lapangan terbang guna nama Trump

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Palm Beach di Florida dijangka menggunakan nama Trump. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Gabenor Florida, Ron DeSantis menandatangani satu rang undang-undang pada Isnin untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Donald J. Trump.

Bagaimanapun, penukaran nama lapangan terbang itu masih memerlukan kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan penyelesaian beberapa perjanjian hak berkaitan.

“Penukaran nama lapangan terbang adalah isu tempatan dan FAA tidak meluluskan penukaran nama lapangan terbang,” kata FAA dalam satu kenyataan.

“Namun, FAA perlu melengkapkan beberapa tugas pentadbiran termasuk mengemas kini carta navigasi dan pangkalan data,” katanya lagi.

Lapangan terbang tersebut terletak kira-kira 3.2 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Trump.

Anak lelaki beliau, Eric Trump, melalui hantaran di platform X melahirkan rasa bangga kerana dapat memainkan peranan dalam menjayakan usaha tersebut sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada DeSantis dan Peguam Negara Florida, James Uthmeier.

Timbalan Ketua Staf Rumah Putih, Stephen Miller turut memuat naik semula hantaran tersebut sebagai tanda sokongan.

Langkah penamaan lapangan terbang ini hadir ketika Trump giat mengusahakan penjenamaan semula beberapa bangunan ikonik atas namanya.

Sebelum ini, beliau telah menukar nama Pusat Kennedy kepada Pusat Trump-Kennedy, walaupun ia dilaporkan masih memerlukan kelulusan Kongres AS.

Beliau turut menamakan semula Institut Keamanan AS sebagai Institut Keamanan Donald J. Trump.

Selain itu, Trump juga dilaporkan bercadang untuk menamakan semula Stesen Penn di New York dan Lapangan Terbang Dulles di Washington sempena namanya.  – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN