Dron serang kedutaan AS di Baghdad

Dron serang kedutaan AS di Baghdad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Satu letupan kuat menggegarkan Baghdad pada awal Rabu ketika pegawai Iraq melaporkan serangan dron dan roket yang menyasarkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) sejak semalam.

Letupan terkini berlaku beberapa jam selepas letupan kedengaran di seluruh ibu kota Iraq, di mana seorang saksi memberitahu AFP dia melihat kemungkinan letupan berpunca daripada pertahanan udara yang menangkis projektil di ruang udara kedutaan.

Pengunjung sebuah restoran di bandar itu bagaimanapun kelihatan tidak terganggu oleh bunyi letupan awal.

Seorang saksi lain melihat api di tepi kawasan kedutaan dari balkonnya, dan seorang pegawai keselamatan berkata, kebakaran itu disebabkan oleh dron.

“Kedutaan menjadi sasaran serangan dron dan roket,” kata pegawai itu yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Satu dron lain, yang menyasarkan pusat diplomatik dan logistik AS di lapangan terbang Baghdad ditembak jatuh, menurut seorang pegawai keselamatan lain.

Beberapa jam kemudian, seorang wartawan AFP mendengar satu letupan lagi, dengan seorang pegawai keselamatan berkata sebuah dron terus membedil kedutaan.

Pegawai itu tidak menyatakan sama ada terdapat sebarang kematian atau kerosakan. Seorang pegawai kedua berkata, sebuah dron jatuh dekat pagar keselamatan kedutaan.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani mengutuk serangan terang-terangan oleh kumpulan luar undang-undang yang tidak dinamakan.

Mohammed Shia menggesa pasukan keselamatan tidak berlembut dalam menjejaki mereka yang bertanggungjawab, menurut kenyataan daripada jurucakap perdana menteri, Sabah al-Numan.

Sebelum ini, kumpulan Kataeb Hezbollah yang disokong Iran mengeluarkan kenyataan menuntut setiap askar asing segera meninggalkan negara itu.

“Kestabilan Iraq terjejas akibat kehadiran jahat Amerika dan keselamatan tidak akan tercapai sehingga askar asing terakhir meninggalkan wilayah Iraq. Sama ada semua orang menikmati keselamatan, atau tiada siapa pun merasainya,” kata Ketua Keselamatan baharu kumpulan itu, Abu Mujahid al-Assaf.

Iraq terheret sama dalam perang Asia Barat selepas lama menjadi medan proksi antara AS dan Iran.

Serangan AS-Israel menyasarkan kumpulan yang disokong Iran, yang kemudian bertindak balas melakukan serangan harian terhadap kepentingan AS di Iraq dan seluruh rantau.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kumpulan bersenjata pro-Iran melancarkan beberapa serangan ke atas kedutaan AS, yang terletak di kawasan sangat dipertahankan di pusat Baghdad, termasuk kemudahan diplomatik dan logistik AS di lapangan terbang.

Semalam, Empat orang terbunuh dalam satu serangan di sebuah rumah di kawasan al‑Jadiriyah, Baghdad, menurut dua pegawai keselamatan Iraq.

Laporan awal menyatakan dua daripada mangsa adalah penasihat Iran yang berada di rumah tersebut semasa serangan berlaku.

Seorang sumber daripada faksi yang disokong Iran mengesahkan rumah itu menjadi lokasi pertemuan penasihat Iran serta pemimpin kumpulan bersenjata pro‑Iran ketika letupan berlaku.

Sumber keselamatan Iraq memberitahu, serangan tersebut mencetuskan kebakaran dan menyebabkan tiga lagi cedera, dengan beberapa dalam keadaan kritikal, sementara pasukan penyelamat masih menggeledah runtuhan bangunan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN