TEHERAN/BEIRUT/RIYADH:Serangan baharu dilaporkan pada Selasa di seluruh Asia Barat termasuk pengeboman Israel ke atas Lubnan dan serangan dron Iran ke atas kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.
Konflik ini bermula dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran hujung minggu lalu, yang mencetuskan serangan balas Iran di seluruh rantau ini dan tidak menunjukkan tanda-tanda reda apabila memasuki hari keempat.
Berikut adalah perkembangan terkini:
- Israel membalas serangan misil terkini
Sejurus selepas tengah malam waktu tempatan Selasa, tentera Israel berkata, mereka sedang berusaha untuk memintas gelombang besar misil yang dilancarkan dari Iran yang menyasarkan beberapa lokasi, termasuk Baitulmuqaddis. - “Baru sebentar tadi, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) mengenal pasti misil dilancarkan dari Iran ke wilayah Israel. Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” kata tentera.
- IDF sedang melaksanakan serangan serentak ke atas Teheran dan Beirut.
- Letupan baharu di Teluk
Letupan kedengaran dan awan asap dilihat di kawasan diplomatik Riyadh, yang menempatkan kedutaan asing dan kediaman diplomat, menurut empat saksi kepada AFP awal Selasa.
- Dua dron menyerang kedutaan AS di ibu negara Arab Saudi dan mencetuskan kebakaran, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi.
Kedutaan mengesahkan serangan itu dan menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan tersebut, sambil menyatakan ia akan ditutup pada Selasa.
Di Qatar, tentera berjaya memintas dua misil balistik awal Selasa, menurut kementerian pertahanan negara itu, selepas wartawan AFP mendengar letupan kuat di seluruh Doha. - Netanyahu: Tiada ‘perang tanpa pengakhiran
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dalam temu bual dengan laman berita Fox News pada Isnin bahawa operasi AS-Israel ke atas Iran akan menjadi tindakan yang cepat dan menambah: “Ia mungkin mengambil sedikit masa, tetapi ia tidak akan mengambil masa bertahun-tahun.” - Serangan baru Israel ke atas Hezbollah
Tentera Israel berkata pada Selasa bahawa ia telah melancarkan serangan ke atas sasaran Hezbollah termasuk pusat kawalan dan kemudahan penyimpanan senjata di ibu negara Lubnan, Beirut selepas memberi amaran bahawa mereka akan meneruskan kempen terhadap kumpulan yang disokong Iran itu.
Kumpulan pejuang Lubnan berkata sejurus selepas tengah malam bahawa serangan roket dan dron mereka ke atas Israel adalah tindakan pertahanan selepas lebih setahun serangan Israel walaupun terdapat gencatan senjata. - AS menasihati rakyat tinggalkan Asia Barat
Jabatan Negara AS menasihati rakyat Amerika meninggalkan sebahagian besar Asia Barat termasuk Mesir dan negara Teluk, kerana perang AS-Israel ke atas Iran.
Negara atau wilayah yang termasuk dalam amaran ialah Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Israel dan wilayah Palestin, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Yemen. - Ibu pejabat penyiar negara Iran diserang dan dirobohkan
Tentera Israel mendakwa mereka telah menyerang dan merobohkan ibu pejabat penyiar radio dan televisyen negara Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), dengan alasan ia menghasut pemusnahan negara Israel dan penggunaan senjata nuklear.
IRIB menulis di aplikasi Telegram bahawa terdapat letupan berhampiran ibu pejabat mereka di Teheran tetapi operasi mereka tidak terganggu. - NGO lapor jumlah kematian baru di Iran –
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Human Rights Activists News Agency berpangkalan di AS (HRANA) pada Selasa melaporkan terdapat 101 kematian di dalam Iran pada hari ketiga perang, termasuk 85 kematian orang awam dan 11 anggota tentera terbunuh. - Iran akan membakar mana-mana kapal di Selat Hormuz
Seorang jeneral dalam Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran mengugut untuk membakar mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz, laluan penting untuk penghantaran minyak dan gas.
“Kami juga akan menyerang saluran paip minyak dan tidak membenarkan setitis minyak pun meninggalkan rantau ini. Harga minyak akan mencecah $200 (RM789) dalam beberapa hari akan datang,” kata Jeneral Sardar Jabbari.
- AS dakwa menyerang 1,250 sasaran setakat ini
AS telah menyerang lebih 1,250 sasaran dalam 48 jam pertama perang terhadap Iran, menurut tentera AS.
Sasaran termasuk pusat kawalan, tapak misil balistik, kapal tentera laut Iran dan kapal selam, serta tapak misil anti-kapal, menurut helaian fakta yang dikeluarkan oleh tentera AS.
- Ibu pejabat ketenteraan Australia di diserang
Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles mengesahkan laporan bahawa ibu pejabat tentera mereka, Pangkalan Udara Al Minhad yang terletak hanya 24 kilometer dari selatan Dubai di UAE, telah diserang hujung minggu lalu. – AFP










