Bom 13,000kg hentam tapak nuklear Iran - Utusan Malaysia

Bom 13,000kg hentam tapak nuklear Iran

SEBUAH bangunan runtuh akibat serangan Israel-AS di Teheran semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel melancarkan serangan ke atas tapak pembangunan senjata nuklear Iran ketika Teheran meningkatkan serangannya di seluruh Asia Barat dalam perang yang bermula pada 28 Februari lalu yang turut melibatkan Amerika Syarikat (AS).

Kompleks Taleghan, yang terletak berhampiran Teheran, menjadi sasaran dalam siri serangan Tentera Udara Israel bagi menghalang keupayaan Iran membangunkan senjata nuklear.

“Tentera Udara Israel, bertindak berdasarkan risikan tepat Pasukan Pertahanan Israel (IDF), menyerang satu lagi tapak program nuklear Iran,” menurut kenyataan pasukan itu.

Menurut IDF, kompleks Taleghan digunakan oleh Iran untuk mengembangkan keupayaan penting dalam pembangunan senjata nuklear.

Kompleks Taleghan merujuk kepada sebuah kemudahan di Parchin, tenggara Teheran, yang didakwa digunakan oleh Republik Islam Iran untuk menjalankan aktiviti ketenteraan secara rahsia.

IDF turut memaklumkan tapak tersebut pernah diserang pada Oktober 2024, sambil menuduh Iran mengambil langkah untuk memulihkan semula kompleks berkenaan sejak itu.

“Iran terus berusaha mengembangkan dan membangunkan keupayaan yang diperlukan bagi menghasilkan senjata nuklear,” kata IDF, sambil menambah serangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada siri operasi bagi terus melemahkan aspirasi nuklear Iran.

IMEJ SATELIT

Imej satelit menunjukkan kesan serangan ke atas pangkalan berkenaan di tengah laporan kemudahan itu mungkin disasarkan menggunakan bom penghancur kubu bawah tanah seberat 13,607 kilogram (kg).

Sekurang-kurangnya tiga lubang besar kelihatan pada struktur konkrit yang melindungi tapak tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut mendakwa serangan Israel membunuh beberapa saintis nuklear terkemuka Iran.

Bercakap pada sidang media malam kelmarin, Netanyahu menyifatkan pemimpin tertinggi baharu Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, sebagai ‘boneka’ Pengawal Revolusi Republik Islam Iran yang tidak dapat muncul di khalayak ramai.

Beliau juga menyampaikan mesej kepada rakyat Iran menyatakan masa untuk memilih ‘jalan kebebasan baharu’ semakin hampir dan mendakwa Israel bersama mereka.

“Namun semuanya bergantung kepada anda. Ia berada di tangan kalian,” kata Netanyahu.

LETUPAN KUAT

Sementara itu, letupan kuat menggoncang pusat bandar Teheran pada Jumaat, menurut laporan televisyen kerajaan Iran, dengan beberapa serangan dilaporkan mengenai kawasan yang tidak jauh dari lokasi perhimpunan pro‑pemerintah sempena Hari Baitulmuqaddis..

Sebelum itu, televisyen negara menyiarkan imej orang ramai berkumpul di Teheran dan bandar‑bandar besar lain untuk memperingati hari tersebut di tengah‑tengah demonstrasi besar menyokong perjuangan Palestin.

Setakat ini, butiran lanjut mengenai punca letupan, jumlah cedera atau kematian belum diumumkan dan perkara ini masih menjadi fokus liputan media di tengah konflik yang semakin meluas di rantau tersebut.

Letupan tersebut menggoncang rumah dua wartawan AFP, yang terletak beberapa kilometer antara satu sama lain di bahagian utara dan pusat ibu kota Iran, dengan asap hitam menjulang di seluruh bandar.

Penduduk Iran yang bercakap dengan AFP memberikan  gambaran suram tentang kehidupan di bawah serangan bom, dengan bandar‑bandar musnah dan wang tunai semakin berkurangan.

“Orang ramai berusaha sehabis daya untuk mengeluarkan simpanan mereka dari bank, kerana kepercayaan terhadapnya telah hilang,” kata seorang wanita berusia 30 tahun di Kermanshah, barat Iran kepada AFP.

“Roti kini diagihkan secara berjadual. Penduduk berada dalam keadaan amat tegang dan marah.”

RANTAU TELUK

Imej daripada AFP menunjukkan asap hitam memjulang di langit Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE)  selepas serangan terhadap kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai tempat selamat di rantau Asia Barat yang kini menjadi kacau.

Menurut media rasmi di Oman, dua orang maut akibat serpihan dron, manakala siren  kedengaran awal Jumaat di Pangkalan Udara Incirlik, sebuah kemudahan penting Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menempatkan tentera Amerika..

Sebagai tanda penyebaran konflik, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan kematian askar pertama negaranya dalam serangan di kawasan Erbil, Iraq.

Macron tidak memberi butiran lanjut mengenai serangan atau pihak yang bertanggungjawab, tetapi tentera Perancis sebelum ini berkata, dron telah menyerang pangkalan di mana askar-askar negara itu  mengambil bahagian dalam latihan anti-pengganas. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN