WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, menafikan laporan pegawai AS mendesak Cuba untuk menggulingkan presidennya, Miguel Diaz-Canel.
Dalam hantaran di X kelmarin, Rubio menyifatkan artikel The New York Times sebagai palsu dan menuduh media itu bergantung kepada ‘penipu yang mendakwa mempunyai maklumat’ sebagai sumber.
Akhbar itu sebelum ini melaporkan pegawai di bawah Presiden Donald Trump meminta Cuba menyingkirkan Diaz-Canel, tetapi tidak mendesak untuk menggulingkan sepenuhnya kerajaan komunis.
Rubio tidak menjelaskan sama ada beliau menafikan keseluruhan laporan atau hanya sebahagian daripadanya.
Menurut akhbar itu, pegawai AS melihat Diaz-Canel sebagai tegas yang enggan melaksanakan perubahan, tetapi AS tidak mengeluarkan sebarang ultimatum untuk menyingkirkannya.
Sejak bertahun-tahun Rubio menggesa agar sistem komunis di Cuba yang diasaskan oleh Fidel Castro dalam revolusi 1959 ditamatkan.
AS dilihat semakin menekan Havana, terutama selepas tindakan ekonomi dan dasar luar yang tegas dilancarkan pentadbiran Trump, termasuk sekatan bahan api serta usaha mengurangkan pengaruh sekutu seperti Venezuela terhadap Cuba.
Rubio memberitahu pemberita pada Selasa, Cuba perlu mengambil tindakan yang lebih dramatik dan tidak hanya bergantung kepada langkah baharu yang membolehkan rakyat Cuba di luar negara melabur serta memiliki perniagaan di pulau itu.
Trump sebelum ini menyatakan minatnya untuk mencapai perjanjian dengan Cuba, namun turut bermegah beliau boleh mengambil alih negara itu yang dianggapnya lemah.
Sama seperti strategi di Venezuela dan kini Iran, AS bukan sekadar menyasarkan perubahan kerajaan, tetapi cuba memaksa negara berkenaan termasuk Cuba untuk mengikut kehendaknya melalui sekatan serta tekanan diplomatik dan ekonomi.- AFP










