WASHINGTON – Sebuah torpedo Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$4.2 juta (RM17 juta) menenggelamkan kapal perang Iran dalam serangan kapal selam pada waktu malam di luar pantai selatan Sri Lanka, Rabu lalu.
Pihak berkuasa Sri Lanka berkata, mereka telah menyelamatkan 32 anak kapal dari kapal perang IRIS Dena tetapi 148 krunya lain hilang, dengan harapan tipis bahawa lebih ramai akan ditemui.
Menyentuh serangan itu, Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth dalam kemas kini di Pentagon, berkata, serangan menenggelamkan kapal perang Iran itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak Perang Dunia Kedua.
Torpedo itu membawa kepala peledak seberat 294 kilogram dan direka bukan untuk melanggar kapal secara langsung.
“Sebuah kapal selam Amerika menenggelamkan sebuah kapal perang Iran yang menyangka ia selamat di perairan antarabangsa. Sebaliknya, ia ditenggelamkan oleh sebuah torpedo,” kata Hegseth dalam satu sidang akhbar.
Pihak berkuasa Sri Lanka berkata, mereka telah menyelamatkan 32 anak kapal dari kapal tersebut namun 148 pelaut lain hilang, dengan harapan tipis bahawa ada lagi yang akan ditemui.
Pegawai tertinggi AS, Jeneral Dan Caine berkata, ia adalah kali pertama kapal selam Amerika menenggelamkan kapal musuh sejak Perang Dunia Kedua.
Pentagon menyatakan salah satu matlamat utama perang AS-Israel menentang Iran, yang dilancarkan pada Sabtu lalu ialah memusnahkan angkatan laut negara itu.
Caine berkata, Amerika telah memusnahkan lebih 20 kapal tentera laut Iran.
Sementara itu, Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath memberitahu parlimen bahawa warga Iran yang diselamatkan dibawa segera ke hospital utama di selatan pulau tersebut manakala dua kapal tentera laut dan sebuah pesawat dikerahkan untuk mencari mangsa-mangsa yang lain.
Kapal itu menghantar isyarat kecemasan pada waktu subuh dan dalam masa kurang dari sejam sebuah kapal penyelamat tiba di kawasan kira-kira 40 kilometer dari pelabuhan selatan Galle, kata menteri tersebut..
Kapal itu telah tenggelam dan hanya tompokan minyak yang tinggal apabila bot penyelamat tentera laut tiba.
“Kami meneruskan pencarian, tetapi kami masih belum tahu apa yang berlaku kepada baki anak kapal,” seorang pegawai pertahanan Sri Lanka memberitahu AFP. – AFP/AGENSI










