TEHERAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, laluan strategik Selat Hormuz masih beroperasi untuk perkapalan antarabangsa tetapi kapal Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak dibenarkan melaluinya.
Iran telah menjelaskan kedudukannya mengenai selat itu di tengah kebimbangan global yang meningkat terhadap bekalan tenaga dan gangguan perkapalan.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan di rantau tersebut semakin memuncak susulan perkembangan ketenteraan terkini.
“Selat Hormuz masih terbuka. Ia hanya ditutup kepada kapal tangki minyak dan kapal milik musuh kami, iaitu pihak yang menyerang kami serta sekutu mereka.
“Saya boleh katakan bahawa Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya, tetapi ia hanya ditutup kepada kapal dan kapal tangki milik AS, Israel, serta bukan kepada kapal lain.
“Pihak lain bebas melaluinya. Sudah tentu, ramai yang memilih untuk tidak berbuat demikian kerana kebimbangan keselamatan mereka. Perkara itu tidak ada kaitan dengan kami,” kata Araghchi dalam temu bual dengan laman berita MS Now.
Dakwaan daripada menteri Iran itu dibuat walaupun ratusan kapal, termasuk banyak kapal dari India, dilaporkan terkandas di laluan laut sempit antara Teluk Parsi dan Teluk Oman.
Menteri itu juga menyatakan bahawa sebahagian syarikat perkapalan memilih untuk mengelakkan kawasan berkenaan atas faktor keselamatan, bukannya kerana sekatan penuh.
Menurutnya, beberapa kapal tangki minyak dan kargo masih bergerak melalui selat itu walaupun ketegangan semakin meningkat.
Sebelum ini, selat itu dilaporkan ditutup sejak 1 Mac lalu susulan serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Kira‑kira satu per lima daripada minyak mentah dan gas asli cecair global biasanya melalui selat itu. – AGENSI










