WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata dalam satu wawancara dengan Financial Times pada Ahad bahawa beliau boleh mengambil alih Pulau Kharg di Iran dengan sangat mudah.
Pulau Kharg, yang terletak di luar pantai barat Iran, merupakan terminal minyak yang sangat penting bagi negara Asia Barat itu.
Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon kini sedang menimbang untuk untuk melakukan operasi darat di Iran.
Pertimbangan itu dibuat walaupun AS menyatakan bahawa ia tidak akan melancarkan pencerobohan berskala penuh.
Apabila ditanya mengenai keadaan pertahanan Iran di pulau tersebut, Trump berkata: “Saya rasa mereka tidak mempunyai sebarang pertahanan. Kami boleh mengambilnya dengan sangat mudah.”
Mengambil alih pulau itu bukan sahaja akan menyekat eksport minyak Iran, malah juga boleh menyediakan pangkalan untuk melancarkan serangan ke atas tanah besar Iran.
Pengambilalihan pulau tersebut juga secara berkesan akan memutuskan salah satu sumber pendapatan utama Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan menjejaskan keupayaannya untuk meneruskan peperangan, kata penganalisis keselamatan Mikey Kay dari program digital BBC Security Brief.
Sebarang operasi AS untuk merampas pulau itu dijangka berskala agak kecil, namun tetap mencabar, menurut Aaron Maclean, hos audio siar School of War dan penganalisis keselamatan negara CBS, kepada BBC. – AFP/BBC










