WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah membelanjakan kira‑kira AS$12 bilion (RM47 bilion) untuk serangan ketenteraannya terhadap Iran, kata seorang penasihat ekonomi kanan Rumah Putih pada Ahad.
Bercakap kepada laman berita CBS News, Kevin Hassett, seorang penasihat kanan kepada Presiden AS, Donald Trump berkata, jumlah itu mencerminkan perbelanjaan yang telah dibuat oleh AS setakat ini sejak melancarkan serangan bersama dengan Israel.
“Jumlah AS$12 bilion adalah apa yang telah saya diberitahu (tentang perbelanjaan) setakat ini,” kata Hassett, sambil menambah bahawa jumlah itu tidak mewakili keseluruhan kos bagi operasi penuh yang dijangka berlangsung beberapa minggu.
Kenyataan itu dibuat ketika Washington cuba memberi jaminan kepada rakyatnya bahawa konflik tersebut tidak akan memberi tekanan ketara terhadap ekonomi Amerika atau memerlukan peruntukan kecemasan daripada Kongres AS.
Anggaran dari Pentagon sebelum ini menunjukkan bahawa kos perang melebihi AS$11.3 bilion (RM44 bilion) dalam enam hari pertama, dipacu terutamanya oleh penggunaan munisi berpandu berketepatan tinggi dan serangan udara.
Hassett berkata, pentadbiran tidak menjangkakan akan meminta tambahan peruntukan dari wakil-wakil rakyat dengan hujah bahawa stok ketenteraan sedia ada sudah mencukupi untuk meneruskan serangan.
Para pegawai pertahanan percaya serangan yang bermula pada 28 Februari boleh berlangsung selama empat hingga enam minggu.
Hassett berkata, kerajaan berusaha untuk melindungi para petani dan industri AS daripada gangguan bekalan. Ia adalah dengan memperluaskan permit untuk bekalan tenaga dan baja dari Venezuela dan Morocco serta membenarkan lebih banyak kapal asing membawa bahan api untuk pesawat dari Teluk Mexico ke pantai barat AS. – AGENSI










