DAMSYIK: Amerika Syarikat (AS) menggalakkan Syria untuk mempertimbangkan penghantaran tentera ke timur Lubnan bagi membantu melucutkan senjata Hezbollah.
Bagaimanapun, Damsyik keberatan untuk memulakan misi sedemikian kerana bimbang akan diheret ke dalam kancah peperangan di Asia Barat serta menyemarakkan ketegangan mazhab, menurut lima sumber.
Cadangan kepada kerajaan Syria yang bersekutu dengan AS itu mencerminkan langkah yang semakin giat untuk melucutkan senjata Hezbollah tajaan Iran, yang mula melepaskan tembakan ke arah Israel sebagai sokongan kepada Teheran pada 2 Mac, sekali gus mencetuskan serangan Israel di Lubnan.
Idea tersebut pertama kali dibincangkan oleh pegawai AS dan Syria tahun lepas, menurut dua sumber daripada kalangan pegawai Syria serta dua lagi pihak yang maklum mengenai perbincangan itu.
Lapor Reuters, cadangan itu dibangkitkan semula oleh pegawai AS sekitar waktu AS dan Israel memulakan peperangan menentang Iran.
Dua pegawai Syria menyatakan permintaan AS itu hadir sejurus sebelum perang bermula, manakala sumber perisikan Barat pula mendakwa ia berlaku sejurus selepas konflik tercetus.
Sumber turut menyatakan kerajaan Syria yang dipimpin oleh kumpulan Islam Sunni sedang mempertimbangkan operasi merentas sempadan itu dengan berhati-hati, namun tetap teragak-agak.
Galakan AS untuk operasi Syria di timur Lubnan serta keraguan Damsyik untuk melaksanakannya tidak pernah dilaporkan sebelum ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS enggan mengulas mengenai komunikasi diplomatik peribadi dan merujuk Reuters kepada kerajaan Syria serta Lubnan untuk ulasan mengenai operasi mereka.
Utusan AS untuk Syria, Tom Barrack yang juga merupakan duta ke Turkiye, memuat naik hantaran di laman X yang menyatakan laporan mengenai AS menggalakkan Syria menghantar tentera ke Lubnan adalah palsu dan tidak tepat.
Walaupun wujud permusuhan terhadap Hezbollah dan Teheran yang mana kedua-duanya pernah berjuang bersama Bashar al-Assad semasa perang saudara Syria 2011-2024, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, bertindak dengan penuh waspada sejak serangan udara AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari.
Seorang sumber yang merupakan pegawai kanan Syria berkata, Damsyik dan sekutu Arabnya telah bersetuju bahawa Syria harus kekal berada di luar konflik peperangan tersebut dan hanya mengambil langkah-langkah bersifat defensif.










