Arab Saudi, Qatar, Kuwait jadi sasaran dron, peluru berpandu Iran - Utusan Malaysia

Arab Saudi, Qatar, Kuwait jadi sasaran dron, peluru berpandu Iran

Kepulan asap menjulang akibat serangan Iran di Doha, Khamis lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH – Negara-negara Teluk melaporkan pada Ahad berlaku serangan peluru berpandu dan dron manakala  Iran berikrar untuk meneruskan serangan terhadap negara-negara jiran ketika perang serantau itu memasuki minggu kedua.

Arab Saudi, Qatar dan Kuwait semuanya melaporkan serangan baharu, selepas letupan kuat kedengaran di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE)  dan Manama di Bahrain sehari sebelumnya.

Syarikat minyak nasional Kuwait mengumumkan pengurangan pengeluarannya..

Kementerian Pertahanan Qatar berkata pada Ahad bahawa negara itu menjadi sasaran sehari sebelumnya selepas 10 peluru berpandu balistik dan dua peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, namun kebanyakannya berjaya dipintas dan tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata, ia telah memintas dan memusnahkan 15 dron yang memasuki ruang udara kerajaan itu, termasuk enam di timur ibu negara Riyadh.

Tentera Kuwait juga menyatakan bahawa mereka telah bertindak balas terhadap gelombang dron yang menembusi ruang udara negara itu.

Tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait menjadi sasaran dalam serangan dron tersebut, tambah pihak tentera.

Ia menyifatkan serangan dron itu sebagai sasaran langsung terhadap infrastruktur penting.

Satu kenyataan berasingan berkata beberapa kemudahan awam mengalami kerosakan akibat serpihan dan sisa runtuhan akibat daripada operasi memintas dron..

Serangan-serangan itu berlaku walaupun presiden Iran telah memohon maaf kepada negara-negara Teluk susulan serangan terdahulu. Beliau berkata negara-negara tersebut tidak lagi akan menjadi sasaran kecuali jika serangan dilancarkan dari wilayah mereka terlebih dahulu.

Bagaimanapun,  beberapa jam kemudian, ketua badan kehakiman Iran berkata serangan akan diteruskan terhadap lokasi di negara-negara Teluk yang digunakan oleh pihak musuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN