Anggota ICE dikerah ke lapangan terbang AS - Utusan Malaysia

Anggota ICE dikerah ke lapangan terbang AS

EJEN ICE membuat rondaan di Terminal B, Lapangan Terbang LaGuardia, New York.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Anggota-anggota Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang sering dikritik kerana taktik kerasnya mula ditempatkan di lapangan terbang utama Amerika Syarikat (AS) ketika kerajaan berusaha mengurangkan gangguan perjalanan ekoran penutupan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS). 

Ramai kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) enggan hadir bekerja dan mengambil cuti kerana tidak menerima gaji sejak pembiayaan DHS tamat pada Februari.

Pegawai berkata, ejen-ejen ICE dihantar ke sekurang-kurangnya 14 lapangan terbang, termasuk di New York, Chicago dan Atlanta untuk membantu sejumlah kecil kakitangan TSA yang masih hadir bekerja namun sudah terlalu terbeban dengan jumlah besar penumpang.

Ejen-ejen ini tidak akan menjalankan pemeriksaan penumpang tetapi dijangka mengendalikan peranan sokongan seperti memantau pintu keluar dan mengurus logistik, membolehkan pegawai TSA menumpukan perhatian pada pemeriksaan keselamatan.

Penempatan ini berlaku ketika lapangan terbang bergelut dengan kelewatan panjang semasa musim perjalanan yang sibuk untuk cuti musim bunga.

Para pelancong terpaksa menghadapi masa menunggu yang semakin lama dengan Lapangan Terbang George Bush di Houston memberi amaran pengembara mungkin mengambil masa lebih daripada empat jam untuk melalui pemeriksaan. 

Ketidakhadiran kakitangan TSA yang tidak dijadualkan meningkat ke tahap tertinggi sejak permulaan penutupan DHS, sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan tekanan sistem.

Namun, penempatan anggota ICE mendapat kritikan hebat daripada Demokrat, aktivis hak asasi dan beberapa anggota parti Republikan yang memberi amaran, ia berisiko meningkatkan ketegangan di persekitaran yang sudah tertekan.

“Perkara terakhir yang rakyat AS perlukan adalah ejen ICE yang tidak terlatih ditempatkan di lapangan terbang di seluruh negara, berpotensi untuk menindas atau dalam beberapa kes membunuh mereka,” kata Pemimpin Minoriti Demokrat, Dewan Hakeem Jeffries kepada CNN.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menolak penyelesaian bagi menamatkan penutupan DHS menyatakan beliau tidak akan menandatangani sebarang perjanjian kewangan melainkan Kongres Amerika juga meluluskan Akta SAVE America, satu rang undang-undang kontroversial menstruktur semula cara rakyat mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya AS. 

Parti Demokrat bagaimanapun mengecam tindakan itu kerana ia akan mewujudkan halangan yang tidak perlu untuk mengundi sementara Pemimpin Majoriti Senat, John Thune menyifatkan tuntutan Trump sebagai tidak realistik. -AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN