WASHINGTON: Amazon.com merancang untuk mengurangkan secara mendadak jumlah bungkusan yang dihantar melalui Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) selepas gagal mencapai persetujuan mengenai syarat perniagaan, menurut sumber.
Gergasi e-dagang yang dianggap sebagai pelanggan terbesar perkhidmatan pos itu telah mula mengurangkan penghantaran pos dan menyasarkan pengurangan sekurang-kurangnya dua pertiga menjelang September apabila kontraknya berakhir.
Rancangan tersebut pada mulanya dilaporkan oleh The Wall Street Journal pada awal pagi Selasa.
Ketua Pengarah USPS, David Steiner memberitahu Reuters di luar pendengaran Kongres, pihaknya masih dalam proses rundingan dengan Amazon.
Steiner enggan mengulas mengenai skala pengurangan tersebut dengan memetik perjanjian kerahsiaan, sambil menyatakan beliau tidak dapat menjangkakan bagaimana kesudahan rundingan itu.
Dalam pendengaran di Dewan Perwakilan AS pada Selasa, Steiner turut mendedahkan USPS mungkin kehabisan tunai dalam tempoh 12 bulan, atau seawal Oktober ini jika ia perlu membuat bayaran persaraan yang diwajibkan.
Amazon dan USPS mengadakan perbincangan selama lebih setahun untuk melanjutkan kerjasama mereka.
Bagaimanapun, kuantiti bungkusan Amazon mula menunjukkan penurunan dengan pengurangan penuh dijangka berlaku menjelang musim luruh, menurut sumber yang enggan dikenali.
Pada Januari lalu, USPS mula menerima cadangan bagi akses kepada rangkaian penghantaran serahan fasa akhir miliknya, yang membuka lebih 18,000 unit penghantaran destinasi dan pusat pemprosesan tempatan di seluruh negara melalui proses lelongan bertujuan mengumpul dana.
Amazon tahun lalu menyatakan rasa terkejut dengan tindakan USPS yang mahu menjalankan lelongan selepas 30 tahun menjalin hubungan, dan memandangkan ketidaktentuan yang berlaku, syarikat itu kini sedang menilai pilihan lain.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Amazon berkata, pihaknya sebenarnya mahu meningkatkan kuantiti penghantaran dengan USPS.
Syarikat itu mendakwa berunding dengan niat baik selama lebih setahun untuk mencapai perjanjian yang mampu memberikan pendapatan berbilion dolar kepada USPS, namun badan itu didakwa tiba-tiba menarik diri pada saat akhir dan memperkenalkan konsep lelongan.
Amazon menyatakan mereka telah mengemukakan bidaan dan walaupun berharap dapat meneruskan perkongsian itu pada tahap yang berkurangan, mereka kini perlu bersedia untuk memenuhi keperluan penghantaran pelanggan tanpa mengira keputusan lelongan tersebut.
Pada April, Amazon mengumumkan akan membelanjakan lebih AS$4 billion (RM15.64 billion) untuk meluaskan rangkaian penghantaran luar bandar di AS menjelang akhir tahun ini, sebagai langkah mempercepatkan penghantaran bagi meningkatkan permintaan daripada pembeli di bandar kecil dan kawasan pedalaman.
Steiner sebelum ini menyatakan pada Disember bahawa Amazon menggunakan perkhidmatan USPS sebanyak 1.7 bilion kali setahun untuk menguruskan bungkusan.
Beliau turut memberitahu Reuters, tanpa USPS, Amazon tidak akan menjadi seperti hari ini, sambil menegaskan pihaknya mahu meneruskan hubungan tersebut pada harga yang adil.









