2 anggota pengaman Indonesia maut di Lubnan - Utusan Malaysia

2 anggota pengaman Indonesia maut di Lubnan

GAMBAR fail kenderaan UNIFIL di selatan Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan berkata, dua anggota pasukannya terbunuh pada Isnin dalam insiden maut kedua dalam tempoh 24 jam di selatan negara itu, di mana Israel dan Hizbollah sedang bertempur.

Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) menyatakan dua anggota pengaman Indonesia terbunuh apabila letupan daripada punca tidak diketahui memusnahkan kenderaan mereka. Dua pengaman lain cedera, seorang daripadanya parah.

Tentera Lubnan berkata, satu serangan Israel membunuh seorang askarnya di selatan negara itu, manakala seorang sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa tiga anggota Hizbollah terbunuh dalam serangan Israel di pinggir selatan Beirut.

Lubnan terlibat dalam konflik Asia Barat selepas kumpulan bersenjata yang disokong Teheran melancarkan roket ke Israel pada 2 Mac untuk membalas kematian pemimpin tertinggi Iran dalam serangan pembukaan perang AS-Israel terhadap republik Islam itu pada 28 Februari lalu.

Israel membalas dengan melancarkan serangan meluas di seluruh Lubnan. Ia turut melakukan serangan darat di selatan negara tersebut. Pihak berkuasa Lubnan berkata lebih 1,200 orang telah terbunuh sejak permulaan permusuhan.

Menurut UNIFIL,  ia telah memulakan siasatan terhadap kematian padai Isnin, sehari selepas seorang anggota pengaman Indonesia lain terbunuh dan tiga lagi cedera akibat letupan projektil, juga daripada punca tidak diketahui, berhampiran pos UNIFIL.

Tentera Israel berkata pada Selasa ia juga menyiasat kedua-dua insiden itu untuk menjelaskan keadaan dan menentukan sama ada ia berpunca daripada aktiviti Hizbollah atau aktiviti Pasukan Pertahanan Israel. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN