NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam kebakaran yang berlaku di unit rawatan trauma di sebuah hospital di negeri timur India, Odisha, hari ini.
Lima lagi dilaporkan cedera parah, namun tidak jelas sama ada kecederaan itu disebabkan oleh kebakaran atau kecederaan terdahulu.
Ketua Menteri, Mohan Charan Majhi berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di pusat trauma pada awal pagi Isnin, selepas beliau melawat hospital berkenaan.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 23 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika kebakaran berlaku, dan 10 daripada mereka meninggal dunia semasa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
“Kakitangan perubatan dan pegawai keselamatan telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan pesakit; dalam proses itu, mereka juga cedera dan kini sedang menerima rawatan,” katanya.- AGENSI










