10 kapal diserang di Selat Hormuz

10 kapal diserang di Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sekitar 10 kapal di dalam atau berhampiran Selat Hormuz diserang sejak Iran menutup laluan air strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menurut laporan kumpulan analisis data.

Serangan-serangan sepanjang minggu selepas permulaan perang pada 28 Februari hampir menghentikan sepenuhnya trafik melalui selat itu, yang menjadi laluan penting untuk minyak dan barangan lain.

Agensi keselamatan maritim Britain (UKMTO) mengeluarkan kira-kira 10 amaran serangan serta peringatan tentang aktiviti mencurigakan, tetapi mendedahkan sedikit maklumat mengenai kapal yang terlibat.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) mencatatkan sembilan serangan terhadap kapal di selat itu dalam tempoh satu minggu, termasuk empat insiden yang mengorbankan tujuh orang.

IMO menyatakan seorang maut dalam setiap tiga serangan terhadap kapal Skylight, MKD Vyom dan Stena Imperative pada 2 Mac, ketika Hercules Star turut terkena serangan.

Antara 3 hingga 5 Mac, empat lagi kapal diserang melibatkan Libra Trader, Gold Oak, Safeen Prestige dan Sonangol Namibe.

Pada 6 Mac pula, empat orang maut apabila Mussafah 2 diserang.

Indonesia mengumumkan pada Ahad sebuah kapal yang ciri-cirinya dan lokasi terakhirnya sepadan dengan Mussafah 2, tenggelam dua hari sebelumnya, tetapi dengan jumlah korban yang berbeza.

Jakarta melaporkan tiga anak kapal Indonesia hilang, seorang mangsa Indonesia cedera dan empat penumpang dari kebangsaan lain terselamat.

Selat itu biasanya menjadi laluan bagi 20 peratus minyak dan gas asli cecair dunia, tetapi trafik kapal tangki menurun 90 peratus dalam tempoh seminggu, menurut firma analisis Kpler, yang mengendalikan platform MarineTraffic.

Menurut data MarineTraffic yang dianalisis AFP pada Jumaat, hanya sembilan kapal komersial termasuk kapal tangki, kapal kargo dan kapal kontena dikesan melalui selat itu sejak Isnin, dengan sesetengah kapal menyorokkan posisi mereka secara berselang-seli.

Firma keselamatan maritim Vanguard melaporkan Mussafah 2 diserang dua peluru berpandu ketika cuba membantu kapal kontena Safeen Prestige, yang telah diserang dua hari sebelumnya.

“Laporan insiden terkini menunjukkan kapal yang memberi bantuan atau operasi menyelamat kepada kapal yang diserang sebelum ini mungkin menghadapi risiko serangan susulan yang tinggi.

“Corak serangan terhadap kapal berlabuh, kapal hanyut, dan kapal bantuan menunjukkan kempen yang bertujuan mewujudkan ketidakpastian operasi dan menghalang pergerakan komersial biasa, bukannya percubaan berterusan untuk menenggelamkan kapal,” kata Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC) yang dikendalikan oleh gabungan tentera laut Barat dalam nota pada Sabtu.

Iran mengeksport minyaknya sendiri melalui Selat Hormuz dan niat sebenar masih tidak jelas.

Seorang jeneral Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada 2 Mac mengancam Iran akan membakar mana-mana kapal yang cuba melintasi selat itu dan menutup semua eksport minyak Teluk.

Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Iran tidak berniat menutup Selat Hormuz.

Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright berkata, kapal perdagangan akan diiringi semasa cuba melalui selat itu sebaik sahaja melihat jika ia wajar dilakukan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan pada Selasa beliau sedang berusaha membina satu pakatan untuk melindungi laluan laut yang penting bagi ekonomi global di rantau itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN