Terpalit skandal Epstein, PM Britain enggan berundur - Utusan Malaysia

Terpalit skandal Epstein, PM Britain enggan berundur

KEIR STARMER - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan beliau tidak akan berundur walaupun tekanan semakin memuncak susulan penglibatan kerajaan Britain dalam skandal melibatkan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.

Menteri-menteri kanan tampil mempertahankan Starmer ketika beliau berdepan krisis paling serius sepanjang 19 bulan pemerintahannya, dengan kemunculan gerakan kanan yang semakin mencabar kedudukannya dalam tinjauan pendapat.

“Selepas berjuang begitu keras untuk peluang mengubah negara ini, saya tidak bersedia untuk meninggalkan mandat dan tanggungjawab saya,” kata Starmer kepada ahli-ahli parlimen Parti Buruh dalam satu mesyuarat penting, di mana beliau disambut dengan tepukan.

Perdana menteri yang tertekan itu berusaha mempertahankan kedudukannya apabila menyatakan bahawa beliau berjaya memenangi setiap pertarungan yang pernah dihadapinya.

Terdahulu pada Isnin lalu, Ketua Parti Buruh Scotland, Anas Sarwar menggesa Starmer meletakkan jawatan kerana melantik Peter Mandelson sebagai duta Britain ke Amerika Syarikat (AS) walaupun mengetahui beliau mempunyai hubungan dengan Epstein.

“Gangguan ini perlu dihentikan dan kepimpinan di Downing Street (pejabat PM Britain) mesti berubah,” kata Sarwar dalam sidang media di Glasgow,  Scotland menjadikannya tokoh Parti Buruh paling kanan setakat ini yang secara terbuka mendesak Starmer berundur.

Beberapa menteri Kabinet tampil menyatakan sokongan kepada perdana menteri itu selepas beberapa hari berdiam diri, termasuk timbalannya David Lammy; Menteri Luar, Yvette Cooper dan Menteri Kewangan, Rachel Reeves.

Tokoh sayap kiri Parti Buruh, Angela Rayner dan Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Starmer turut menyatakan sokongan penuh kepada pemimpin parti itu.

Pada Isnin lalu, Starmer kehilangan pembantu kanan kedua dalam tempoh dua hari apabila ketua komunikasinya, Tim Allan meletakkan jawatan hanya beberapa bulan selepas dilantik.

Pada Ahad lepas, Ketua Setiausaha Starmer, Morgan McSweeney turut meletak jawatan selepas beliau mengaku menasihati Starmer supaya membuat pelantikan Mandelson.

Pengunduran McSweeney menyebabkan pemimpin Britain yang sedang tertekan itu kehilangan penasihat paling rapat yang memainkan peranan penting membawa Parti Buruh kembali ke arus perdana selepas Starmer menggantikan pemimpin berhaluan kiri, Jeremy Corbyn, pada 2020.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, Starmer beberapa kali menukar ketua komunikasi, manakala pengunduran kakitangan, perubahan dasar dan kesilapan pentadbiran semakin menjadi ciri kerajaan beliau, sehingga menjejaskan popularitinya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN