BANGKOK: Thailand bersiap sedia mengadakan pilihan raya umum esok dalam persaingan hebat tiga parti politik yang bakal menentukan hala tuju politik selepas negara berkenaan menghadapi ketidaktentuan dan pertukaran kerajaan sebelum ini..
Kira-kira 53 juta orang daripada jumlah penduduk seramai 71 juta di negara itu layak mengundi bagi memilih ahli-ahli Parlimen yang mempunyai 500 kerusi dan akan diisi melalui sistem campuran.
Seramai 400 ahli dipilih melalui sistem siapa menang undi terbanyak manakala 100 kerusi diperuntukkan melalui sistem perwakilan berkadar atau senarai parti.
Para pengundi akan menentukan melalui peti undi sama ada untuk memberi mandat semula kepada kerajaan sedia ada, menghidupkan kembali sebuah dinasti politik yang pernah dominan atau memberi peluang sekali lagi kepada golongan reformis untuk mentadbir negara.
Tiga parti utama mendominasi saingan adalah Bhumjaithai diterajui Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul; Parti Pheu Thai iaitu kuasa populis diasaskan bekas perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan Parti Rakyat dijenamakan semula daripada Parti Move Forward yang dibubarkan sebelum ini.
Parti-parti yang bertanding sudah mengemukakan calon perdana menteri masing-masing.
Mana-mana parti yang memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi Parlimen layak mencalonkan nama perdana menteri untuk diundi di Parlimen.
Seorang calon perdana menteri mesti memperoleh sokongan lebih separuh daripada 500 ahli Parlimen.
Jika gagal, Parlimen akan bersidang semula dan proses pengundian diulangi bagi calon lain tanpa had masa sehingga seorang perdana menteri berjaya dipilih.
PARTI BHUMJAITHAI
Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin menyertai pilihan raya mengejut ini selepas Parlimen dibubarkan kurang tiga bulan selepas penggalnya bermula, satu pertaruhan politik berisiko tinggi bagi mendapatkan mandat penuh empat tahun mentadbir Thailand.
Anutin menjadi perdana menteri Thailand ke-32 pada September tahun lalu, pemimpin ketiga negara itu dalam tempoh hanya dua tahun selepas Bhumjaithai pantas membentuk kerajaan minoriti susulan penyingkiran perdana menteri ketika itu, Paetongtarn Shinawatra oleh mahkamah.
Menjelang Disember tahun lalu, beliau membubarkan Parlimen dengan mempertaruhkan kelebihan sebagai penyandang jawatan, momentum semasa dan penjajaran politik baharu yang dijangka memihak kepadanya.
Anutin yang berpengalaman dan mahir dalam rundingan juga dilihat bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dengan sokongan rangkaian konservatif berpengaruh di luar arena politik.
Kebangkitan Anutin yang juga seorang bilionair mencerminkan strategi jangka panjang Bhumjaithai, sebuah parti yang berasal dari wilayah Buriram di timur laut Thailand.
Anutin turut bergantung kepada barisan menteri teknokrat yang mengendalikan kewangan, perdagangan dan hal ehwal luar bagi mengekalkan momentum sebagai kerajaan baharu.
Konflik sempadan dengan Kemboja turut meningkatkan sentimen awam dan Anutin menekankan isu itu dalam perhimpunan, selari dengan nama parti Bhumjaithai yang bermaksud bangga menjadi orang Thai.
Walaupun Bhumjaithai yakin akan memenangi kerusi terbanyak dan penganalis meramalkan beliau akan mengekalkan jawatannya, pembentukan kerajaan campuran dijangka masih diperlukan.
Anutin kini perlu meningkatkan sokongan dan menambah bilangan kerusi Bhumjaithai melebihi 71 yang dimenangi sebelum ini serta memanfaatkan hubungan rapatnya dengan institusi negara bagi membentuk gabungan yang mampu mengekang kebangkitan Parti Rakyat.
PARTI RAKYAT
Selepas memenangi undi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum 2023, Parti Move Forward yang kini dikenali sebagai Parti Rakyat dilihat membawa anjakan politik baharu.
Namun, ia dihalang daripada membentuk kerajaan dalam pilihan raya tersebut dan kemudian dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan.
Gerakan progresif ‘oren’ kini berdepan persoalan mampukah golongan reformis kekal dengan idealisme sambil benar-benar memerintah.
Mencabar struktur kuasa telah lama menjadi identiti gerakan itu.
Pengkritik menuduh pemimpinnya tidak setia kepada monarki, dakwaan yang ditolak parti itu.
Walaupun nama berubah, keutamaan dasar dan sokongan terasnya masih kekal.
Bekas calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat daripada Parti Move Forward itu kini diketepikan selepas dikenakan larangan berpolitik selama sedekad.
Parti Rakyat kini diterajui Natthaphong Ruengpanyawut, 38, seorang ahli perniagaan dan calon perdana menteri, yang berdepan cabaran membina identiti sendiri.
“Saya rasa lebih yakin, lebih berharap. Kita lihat orang ramai berkumpul, mereka mahukan kerajaan baharu untuk menyelesaikan masalah asas negara. Kita boleh mengubah negara melalui kuasa rakyat,” katanya.
Tinjauan pendapat secara konsisten menunjukkan Parti Rakyat yang progresif muncul sebagai parti paling popular di Thailand.
Menerusi agenda reformasi yang bercita-cita tinggi dan penguasaan media sosial, parti itu mendapat sokongan besar dalam kalangan pengundi muda serta penduduk bandar, menjadikannya kuasa utama dalam pilihan raya kali ini.
Dalam kajian pendapat oleh Universiti Suan Dusit antara 16 hingga 28 Januari lalu melibatkan 26,661 responden, Parti Rakyat memperoleh 36 peratus sokongan, diikuti Pheu Thai dengan 22.1 peratus, manakala Bhumjaithai berada di tempat ketiga dengan 18.9 peratus.
Satu lagi tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional (NIDA) yang dibuat antara 23 hingga 27 Januari lalu terhadap 2,500 responden menunjukkan Parti Rakyat mendapat 34.2 peratus sokongan, Bhumjaithai 22.6 peratus dan Pheu Thai 16.2 peratus.
PARTI PHEU THAI
Parti Pheu Thai membawa legasi besar dalam politik Thailand.
Diasaskan oleh Thaksin, parti itu lama mendominasi politik melalui dana kempen besar dan dasar populis yang kukuh di luar bandar. Namun landskap kini jauh lebih mencabar selepas kepulangan Thaksin dari buangan selama 15 tahun pada 2023 menyaksikan pengaruhnya semakin pudar.
Dua perdana menteri Parti Pheu Thai disingkirkan, gabungan runtuh dan Thaksin dipenjarakan. Sokongan di kubu utara dan timur laut Thailand juga merosot apabila pengundi muda beralih kepada gerakan reformis.
Parti Pheu Thai kini mempertaruhkan Yodchanan Wongsawat, 46, profesor kejuruteraan bioperubatan dan anak saudara Thaksin, sebagai calon perdana menteri.
Ia menawarkan dasar populis tradisional dan bantuan tunai dalam perang terhadap kemiskinan, termasuk tawaran cabutan bertuah sejuta baht (RM124,673) kepada sembilan rakyat setiap hari.
Penganalisis percaya Pheu Thai berkemungkinan besar bekerjasama dengan Bhumjaithai untuk membentuk kerajaan, seperti yang pernah berlaku sebelum ini. – AGENSI










