ISTANBUL: Penyelidik-penyelidik di Turkiye menemui bukti arkeologi yang menunjukkan masyarakat Rom purba menggunakan najis manusia yang sihat dalam rawatan perubatan.
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Archaeological Science: Report, walaupun amalan itu pernah direkodkan dalam teks perubatan Rom, ia kali pertama bukti fizikal ditemukan dan didokumentasikan.
Ketua penulis kajian, Cenker Atila yang juga ahli arkeologi Universiti Sivas Cumhuriyet berkata, beliau menemui sisa bahan dalam beberapa botol kaca Rom yang dikenali sebagai unguentaria di Muzium Bergama, Turkiye ketika menjalankan penyelidikan untuk buku Glass Objects from Bergama Museum yang diterbitkan pada 2022.
Atila menemui sisa dalam tujuh bekas berbeza, namun hanya satu artifak yang memberikan keputusan analisis yang muktamad. Artifak itu digali dari kota purba Pergamon dan bertarikh sekitar abad kedua Masihi.
“Selepas membuka penutup tanah liat dan mengambil sampel serpihan berwarna coklat di dalam botol tersebut, analisis mendapati ia mengandungi najis manusia bersama kepekatan tinggi herba thyme dan minyak zaitun.
“Kami yang biasa dengan sumber teks purba segera mengenal pasti bahan ini sebagai ramuan perubatan yang digunakan oleh tabib Rom terkenal, Galen. Menemukan sendiri ramuan yang digambarkan oleh Galen adalah satu kejutan besar dan amat mengujakan,” kata Atila kepada CNN.
Galen, yang dilahirkan dalam keluarga Yunani berada di Pergamon, dikenali sebagai perintis dalam bidang anatomi dan pernah berkhidmat kepada tiga maharaja Rom. Teks perubatannya berpengaruh selama kira-kira 1,500 tahun.
Menurut teks purba, najis manusia dan haiwan digunakan sebagai rawatan bagi pelbagai keadaan kesihatan, termasuk keradangan, jangkitan dan gangguan reproduktif.
‘Penemuan ini menunjukkan konsep pemindahan najis yang penting dalam perubatan moden ketika ini sebenarnya sudah diketahui sejak zaman purba. Amalan ini merujuk kepada pengambilan sampel najis daripada penderma sihat dan memindahkannya kepada pesakit untuk memanfaatkan mikrobiota usus,” jelasnya.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat turut meluluskan dua produk berasaskan pemindahan najis bagi mencegah jangkitan bakteria berulang pada kolon dalam kalangan orang dewasa. – AGENSI










