Rakyat Cuba makin tertekan hadapi krisis bahan api, gangguan elektrik

Rakyat Cuba makin tertekan hadapi krisis bahan api, gangguan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Sekatan bekalan minyak yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Cuba kini menjejaskan kehidupan harian golongan pekerja, sehingga memaksa mereka menukar kerjaya dan meninggalkan kenderaan sendiri akibat krisis bahan api serta gangguan bekalan elektrik yang berterusan.

Bagi Yixander Diaz, bapa kepada dua anak, kesukaran memperoleh bahan api memaksanya berhenti kerja sebagai pemandu teksi dan kini beralih kepada buruh binaan.

“Keadaan sekarang sangat mendesak,” ujar lelaki berusia 27 tahun itu kepada AFP, yang kini hanya bergantung kepada basikal untuk berulang-alik dari pinggir bandar Havana ke pusat bandar.

Sejak penggulingan pemimpin sayap kiri Venezuela, Nicolas Maduro pada Januari lalu, AS menyekat pihak berkuasa baharu di Caracas daripada menghantar bekalan minyak ke Cuba, selain mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap mana-mana negara lain yang berbuat demikian.

Langkah tersebut mencetuskan krisis tenaga yang meruncing di sebuah negara yang sememangnya sudah bertahun-tahun bergelut dengan masalah kekurangan ubat-ubatan, makanan dan bekalan elektrik.

Di bawah sistem pengagihan semasa, pemilik kenderaan hanya dibenarkan membeli 20 liter petrol melalui permohonan aplikasi mudah alih, namun proses menunggu tersebut dilaporkan boleh memakan masa berbulan-bulan.

Cuba, yang ditadbir oleh kerajaan komunis dan telah berdepan embargo perdagangan AS sejak 1962, menyatakan komitmen untuk mengekalkan gaji sektor awam buat masa ini. Bagaimanapun, tempoh bekerja empat hari seminggu telah diperkenalkan ekoran masalah pengangkutan yang semakin meruncing.

Berdasarkan langkah kecemasan kerajaan, penjualan diesel kini dilarang manakala jualan petrol dihadkan sepenuhnya. Menurut penyelidikan firma perunding Auge, sebanyak 96.4 peratus perniagaan kecil dan sederhana di negara itu mengalami kesan teruk atau bencana akibat krisis ini.

Pengeluaran minyak mentah tempatan yang hanya sekitar 40,000 tong sehari dilaporkan hampir tidak mencukupi untuk menggerakkan loji kuasa elektrik negara. Selain itu, ketiadaan diesel turut menjejaskan operasi penjana elektrik tambahan.

Sejak awal 2026, penggunaan tenaga solar mula meningkat dalam kalangan penduduk yang berkemampuan, manakala golongan yang kurang bernasib baik terpaksa beralih kepada penggunaan arang atau kayu api untuk memasak.

Analisis statistik rasmi oleh AFP menunjukkan bahawa sebelum sekatan AS bermula sekalipun, pulau tersebut hanya mampu menjana separuh daripada jumlah keperluan elektrik tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN