Perpindahan penduduk Tebing Barat catat rekod tertinggi - Utusan Malaysia

Perpindahan penduduk Tebing Barat catat rekod tertinggi

PENDUDUK Palestin melihat runtuhan rumah dan premis perniagaan yang dirobohkan jentolak di Beit Aawa, barat bandar Hebron di Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Keganasan dan pencerobohan peneroka haram Yahudi  di Tebing Barat yang diduduki Israel memaksa hampir 700 rakyat Palestin meninggalkan kediaman mereka sepanjang Januari lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Angka itu merupakan kadar perpindahan tertinggi sejak perang di Gaza meletus pada Oktober 2023.

Sekurang-kurangnya 694 rakyat Palestin dipaksa keluar dari rumah mereka bulan lalu, berdasarkan data agensi Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) yang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai data agensi badan dunia itu..

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) pada akhir Januari lalu menyatakan bahawa keganasan peneroka kini menjadi pemacu utama perpindahan paksa di Tebing Barat.

Jumlah perpindahan yang tinggi pada Januari lalu sebahagiannya berpunca daripada pengusiran keseluruhan sebuah komuniti penternak di Lembah Jordan, Ras Ein Al-Auja, apabila 130 keluarga meninggalkan kawasan itu selepas berbulan-bulan berdepan gangguan.

“Apa yang berlaku ketika  ini ialah keruntuhan sepenuhnya komuniti kami akibat serangan berterusan dan berulang oleh peneroka, siang dan malam, sepanjang dua tahun lalu,” kata seorang penduduk Badwi, Farhan Jahaleen kepada agensi berita AFP.

Menurut laporan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel, Peace Now, peneroka-peneroka haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel menggunakan aktiviti penternakan untuk mewujudkan kehadiran mereka di tanah pertanian digunakan komuniti Palestin dan secara beransur-ansur menafikan akses mereka ke kawasan tersebut.

Kumpulan pemantau penempatan itu berkata, peneroka-peneroka haram Yahudi menggunakan gangguan, ugutan dan keganasan dengan sokongan kerajaan serta tentera Israel bagi memaksa penduduk Palestin keluar 

“Tiada pihak yang memberi tekanan kepada Israel atau pihak berkuasa Israel untuk menghentikan perkara ini. Jadi, peneroka merasai kekebalan sepenuhnya dan bebas meneruskan tindakan mereka,” kata Pengarah Konsortium Perlindungan Tebing Barat, Allegra Pacheco.

Konsortium itu merupakan  gabungan NGO yang menyokong komuniti Palestin menentang perpindahan.

Pacheco turut menyifatkan kurangnya perhatian terhadap situasi di Tebing Barat sebagai faktor utama yang mendorong peningkatan pencerobohan itu.

“Semua perhatian tertumpu kepada Gaza apabila bercakap tentang Palestin, sedangkan di Tebing Barat berlaku pembersihan etnik yang berterusan dan tiada siapa memberi perhatian,” katanya.

Penduduk Palestin di Tebing Barat juga dipindahkan apabila tentera Israel merobohkan struktur dan kediaman yang didakwa dibina tanpa permit.

Pada bulan lalu, seramai 182 lagi rakyat Palestin dipindahkan akibat perobohan rumah, menurut OCHA.

Tebing Barat menempatkan lebih 500,000 warga Israel yang tinggal di penempatan dan pos hadapan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa. 

Kira-kira tiga juta rakyat Palestin menetap di Tebing Barat.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN