Pemuda maut ditembak selepas ceroboh resort Trump - Utusan Malaysia

Pemuda maut ditembak selepas ceroboh resort Trump

AUSTIN TUCKER MARTIN mati ditembak oleh ejen Perkhidmatan Rahsia ketika menceroboh resort milik Trump. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON:  Seorang lelaki bersenjatakan senapang patah yang menceroboh perimeter keselamatan resort Mar-a-Lago milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Florida mati ditembak oleh dua ejen Perkhidmatan Rahsia pada awal pagi semalam.

Trump berada di Washington ketika kejadian itu berlaku, yang menurut pegawai berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan.

Menurut Perkhidmatan Rahsia, suspek, seorang lelaki berusia awal 20-an, dikesan berhampiran pintu utara kawasan Mar-a-Lago sambil membawa senapang patah dan tong bahan api.

Ejen-ejen berdepan dengan lelaki itu dan mengarahkannya melucutkan senjata, tetapi dia mengangkat senapangnya.

“Satu-satunya kata yang kami ucapkan kepadanya ialah letakkan barang itu,” kata Syerif Mukim Palm Beach, Ric Bradshaw kepada wartawan.

“Pada ketika itu dia meletakkan tin petrol, kemudian mengangkat senapang ke posisi menembak,” tambahnya.

Seorang timbalan syerif dan dua ejen Perkhidmatan Rahsia kemudian menembaknya. Lelaki itu disahkan meninggal dunia dan tiada pegawai AS yang cedera.

Perkhidmatan Rahsia berkata, tiada individu di bawah perlindungannya berada di Mar-a-Lago ketika itu.

Bradshaw mengenal pasti penembak sebagai Austin Tucker Martin, 21, penduduk sebuah pekan kecil di Carolina Utara kira-kira 1,127 kilometer di utara Mar-a-Lago, lapor akhbar The Washington Post.

Menurut akhbar Miami Herald, Martin ialah seorang ilustrator landskap dan padang golf selain mempunyai seorang kakak yang meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 21 tahun, namun obituari tidak menyatakan punca kematian.

Trump, yang sering menghabiskan hujung minggu di Mar-a-Lago, telah menjadi sasaran beberapa plot atau cubaan pembunuhan.

Awal bulan ini, Ryan Routh, 59, yang merancang untuk membunuh Trump di sebuah padang golf di Florida pada September 2024, dua bulan sebelum pilihan raya AS, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Rancangan serangan Routh terhadap Trump berlaku dua bulan selepas cubaan pembunuhan terhadap pemimpin Republikan itu di Pennsylvania, apabila Matthew Crooks, 20, melepaskan beberapa das tembakan semasa satu perhimpunan, salah satunya mencederakan telinga kanan Trump.

Serangan itu, yang mengorbankan seorang peserta perhimpunan, menjadi titik perubahan dalam kembalinya Trump ke tampuk kuasa. 

Terdapat foto yang kini terkenal menunjukkan Trump berlumuran darah mengangkat penumbuk kepada orang ramai sambil berkata kepada penyokongnya: ‘Lawan, lawan.”

Crooks ditembak mati serta-merta oleh pasukan keselamatan dan motifnya masih tidak diketahui. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN