Lebih 1,000 banduan dibebaskan sempena Ramadan

Lebih 1,000 banduan dibebaskan sempena Ramadan

SHEIKH MOHAMED - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Presiden Emiryiah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan telah menitahkan pembebasan seramai 1,440 banduan daripada institusi pemulihan di seluruh negara.

Selain titah pembebasan tersebut, presiden juga akan melunaskan segala obligasi kewangan atau denda yang dikenakan ke atas banduan tersebut dalam pelbagai kes yang melibatkan mereka.

Inisiatif murni ini mencerminkan komitmen mendalam Sheikh Mohamed untuk memberi peluang kedua kepada banduan bagi memulakan lembaran baharu dalam hidup mereka. 

Langkah ini juga bertujuan untuk meringankan beban serta penderitaan yang ditanggung oleh keluarga mereka, sekali gus memupuk kestabilan sosial dalam komuniti.

Ia juga diambil bagi membawa kegembiraan dan kelegaan kepada keluarga banduan sepanjang bulan mulia ini, satu tempoh yang secara tradisinya amat sinonim dengan nilai kemaafan dan kasih sayang. 

“Ramadan ialah masa untuk muhasabah dan kemurahan hati, serta peluang untuk mengeratkan hubungan dalam keluarga dan komuniti,” katanya di platform X.

Menurut pejabat media, Naib Presiden dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum membebaskan  seramai 1,856 banduan daripada pelbagai kewarganegaraan. 

Pemerintah Fujairah, Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi mengarahkan pembebasan 125 banduan yang menunjukkan kelakuan baik.

Sementara itu, Pemerintah Sharjah, Sheikh Dr. Sultan bin Muhammad Al Qasimi memperkenankan pembebasan 738 tahanan. 

Pemerintah Ajman, Sheikh Humaid bin Rashid Al Nuaimi turut mengarahkan pembebasan 134 banduan, manakala Pemerintah Ras Al Khaimah, Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi,mengarahkan pembebasan 407 tahanan yang menjalani hukuman di Institusi Pemulihan Ras Al Khaimah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN