Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS ditutup? - Utusan Malaysia

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS ditutup?

GAMBAR fail beberapa buah kapal milik Pengawal Pantai AS yang dijangka terjejas susulan penutupan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebahagian operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Amerika Syarikat (AS) di ambang penutupan yang akan menjejaskan lebih 260,000 kakitangan persekutuan.

Susulan Kongres AS tidak bersidang kerana hujung minggu, DHS akan ditutup bermula pukul 12.01 tengah malam hari ini selepas senator-senator Parti Demokrat kelmarin mengundi untuk menyekat usul bagi memajukan rang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Perwakilan.

Usul itu adalah  untuk membiayai DHS dan ia memerlukan 60 undi untuk diluluskan tetapi  gagal diteruskan apabila hanya memperoleh 52 undi berbanding 4 undi menentang.

Ini bermakna kakitangan-kakitangan persekutuan seperti Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan  (FEMA), Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan dan Pasukan Pengawal Pantai AS  tidak akan menerima gaji, walaupun kebanyakan mereka tetap akan hadir bekerja kerana tugas mereka dianggap kritikal.

Namun, agensi yang menjadi sasaran utama kemarahan Demokrat iaitu agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam  (ICE) termasuk Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP)  akan dapat meneruskan operasi tanpa banyak gangguan.

Kedua-dua agensi itu menerima peruntukan berpuluh bilion dolar menerusi One Big Beautiful Bill Act atau Akta Rang Undang-Undang Besar dan Indah yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden Donald Trump tahun lalu.

“(Parti) Demokrat telah menyatakan dengan jelas. Kami tidak akan menyokong lanjutan status quo, satu keadaan yang membenarkan polis rahsia bertopeng menyerbu rumah orang tanpa waran, tanpa sebarang kawalan dan tanpa pengawasan daripada pihak berkuasa bebas,” kata Ketua Demokrat Dewan Senat, Chuck Schumer (New York) sebelum pengundian.

Dewan Senat kini sedang bercuti selama seminggu, tetapi senator-senator boleh dipanggil kembali jika perjanjian dicapai dalam tempoh itu. Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan AS yang dikuasai wakil-wakil rakyat parti Republikan.

Pada Rabu lalu, Dewan Perwakilan mengundi untuk membatalkan tarif yang dikenakan oleh Trump ke atas Kanada tahun lalu, satu tindakan penentangan wakil-wakil rakyat parti Republikan yang memerintah dan Demokrat terhadap dasar perdagangan Rumah Putih

Undian dengan 219 wakil rakyat menyokong manakala 211 lagi menentang itu berlaku sebelum Trump mengugut akan mengambil tindakan balas terhadap mana-mana wakil rakyat Republikan yang menentangnya.

CADANGAN

Bagaimanapun, Rumah Putih  dan pemimpin Demokrat di Dewan Senat terus bertukar cadangan, menandakan ada sedikit harapan untuk mencapai persetujuan. 

Namun, masih tidak jelas tuntutan Demokrat mana yang akan dipersetujui oleh Rumah Putih apabila melibatkan sekatan terhadap penguatkuasaan imigresen, susulan insiden di mana ejen-ejen  persekutuan telah membunuh dua warganegara Amerika di Minnesota.

Selain itu, agensi ICE dan CBP, yang menjadi teras pertikaian antara kedua-dua parti, akan kurang terjejas oleh penutupan kerajaan. 

Kakitangan-kakitangan di kedua-dua agensi dijangka terus bekerja dan menerima gaji. Ini kerana agensi-agensi itu masih mempunyai akses kepada dana sebanyak AS$75 bilion (RM293 bilion) yang diluluskan tahun lalu melalui akta tersebut.

Dewan Senat kini sedang bercuti selama seminggu, tetapi senator-senator boleh dipanggil kembali jika perjanjian dicapai dalam tempoh itu. Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan AS yang dikuasai wakil-wakil rakyat parti Republikan.

Dewan Perwakilan dan Senat dijadualkan kembali bersidang hanya pada 23 Februari ini, menjadikan kemungkinan penutupan DHS sekurang-kurangnya selama 10 hari.

RUNDINGAN 

Walaupun begitu, mereka boleh kembali lebih awal sekiranya terdapat rang undang-undang untuk diundi.

“Saya telah memberitahu mereka supaya bersedia kembali jika ada sebarang rundingan yang dicapai untuk mengundi,” kata Ketua Majoriti Dewan Senat, John Thune sebelum wakil-wakil rakyat meninggalkan Washington DC.

Senator Chris Murphy bagi pihak Demokrat telah menyatakan mereka tidak akan menerima rang undang-undang sementara tanpa reformasi dalam kemelut pembiayaan DHS.

“Jalan ke hadapan adalah mudah. Rundingkan kawalan serius yang melindungi rakyat Amerika, menyekat ICE dan hentikan keganasan,” kata Chuck yang mewakili Demokrat kepada wartawan. 

“Rakyat Amerika melihat apa yang berlaku di satu kejiranan demi satu kejiranan di seluruh negara. Mereka tahu ia salah. Mereka tahu ia keterlaluan. Dan mereka mahu Kongres, Senat, memperbaikinya.”

Walaupun tiada pihak mendedahkan butiran perbincangan yang sedang berjalan, Demokrat telah mengeluarkan 10 tuntutan minggu lalu termasuk mewajibkan ejen-ejen pihak berkuasa memakai pengenalan diri, mendapatkan waran kehakiman untuk memasuki harta persendirian dan berhenti menggunakan topeng ketika melakukan penguatkuasaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN