TEL AVIV: Lebih 50,000 askar Israel memiliki sekurang‑kurangnya satu kewarganegaraan asing tambahan, menurut angka yang diterbitkan kelmarin oleh akhbar harian Yedioth Ahronoth berdasarkan data rasmi tentera.
Akhbar itu menyatakan bahawa maklumat tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas kepada permohonan kebebasan maklumat yang dikemukakan oleh kumpulan pembela ketelusan, Hatzlacha.
Maklumat itu mendapati bahawa seramai 50,632 askar yang sedang berkhidmat memegang lebih daripada satu kewarganegaraan.
Kumpulan terbesar terdiri daripada anggota yang memegang pasport dari Amerika Syarikat (AS), Russia, Perancis, United Kingdom (UK), Jerman, Ukraine dan Kanada dengan membentuk sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan tersebut.
Data berkenaan menunjukkan seramai 12,135 askar memegang kewarganegaraan Amerika, menjadikan rakyat negara tersebut mewakili bilangan yang paling ramai dalam kategori pemegang lebih daripada satu kewarganegaraan.
Lebih 6,100 askar memegang kewarganegaraan Perancis, manakala lebih 5,000 lagi memegang kerakyatan Russia. Angka tersebut turut mendedahkan sekurang-kurangnya 2,069 askar yang memegang kewarganegaraan British.
Sebelum ini, perdebatan di Britain sebahagian besarnya hanya tertumpu kepada sebilangan kecil ‘askar tunggal’ iaitu sukarelawan tanpa kewarganegaraan Israel yang dianggarkan hanya melibatkan kira-kira 54 individu.
Ribuan lagi askar yang tersenarai memegang pasport dari Jerman, Ukraine, Romania, Poland, Kanada dan beberapa negara Amerika Latin. Data tersebut turut mendedahkan sebilangan kecil askar memegang kewarganegaraan dari negara-negara Arab, termasuk Yemen, Tunisia, Lubnan, Syria dan Algeria.
Laporan itu menyatakan seramai 4,440 askar memegang dua kewarganegaraan asing selain kerakyatan Israel, manakala 162 anggota tentera memiliki tiga atau lebih pasport asing.
Ia turut mendedahkan permohonan bagi mendapatkan perincian tentang penglibatan askar-askar dua kewarganegaraan tersebut dikemukakan hampir setahun lalu, iaitu pada Mac 2025.
Angka-angka itu merupakan pecahan terperinci pertama secara awam mengenai kewarganegaraan asing dalam kalangan anggota tentera Israel.
Namun, pihak tentera rejim Zionis tidak menjelaskan sama ada data itu merangkumi anggota aktif, simpanan atau kedua-duanya.
JUMLAH ASKAR
Anggaran media Israel meletakkan jumlah anggota tentera aktif adalah kira‑kira 170,000 askar dengan tambahan melibatkan jumlah kira-kira 400,000 hingga 460,000 anggota simpanan berdaftar.
Sejak tercetusnya genosid yang dilakukan Israel di Gaza pada 7 Oktober 2023, pasukan Israel didakwa bergantung kepada puluhan ribu askar yang mempunyai lebih satu kewarganegaraan.
Komposisi pelbagai negara ini menunjukkan bahawa konflik tersebut melangkaui sokongan diplomatik dan ketenteraan semata-mata, kepada penyertaan langsung oleh warganegara dari pelbagai negara dalam aktiviti pertempuran.
Skala penyertaan warga-warga asing itu telah menarik pengawasan undang-undang antarabangsa di bawah prinsip bidang kuasa sejagat, yang membolehkan mahkamah nasional di negara masing-masing mendakwa mereka melakukan jenayah perang tanpa mengira lokasi kejadian.
Organisasi hak asasi utama, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, telah menyeru agar siasatan bebas dijalankan dan menggesa kerajaan-kerajaan untuk meneliti tingkah laku warganegara mereka yang berkhidmat dalam tentera Israel.
MAHKAMAH
Inisiatif undang-undang itu telah pun bermula di beberapa negara. Pihak berkuasa di Kanada dilaporkan membuka siasatan terhadap jenayah perang yang disyaki melibatkan anggota simpanan berkewarganegaraan berganda.
Kumpulan hak asasi di Belgium dan United Kingdom telah mengemukakan aduan kepada badan undang-undang antarabangsa serta domestik terhadap ratusan individu yang memegang kewarganegaraan Eropah.
Bagaimanapun, pakar undang-undang menyatakan bahawa sebahagian warganegara asing termasuk warga Britain, mungkin berdepan tindakan di bawah perundangan domestik, yang mengehadkan penyertaan dalam angkatan tentera asing di bawah keadaan tertentu.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga telah memperkuatkan seruan pada Januari 2024 mengenai risiko genosid yang mungkin berlaku di Gaza dengan menggesa agar negara-negara menyiasat sama ada warganegara mereka mengambil bahagian dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Pendedahan bilangan askar dua kerakyatan itu meletakkan kerajaan Barat di bawah tekanan yang semakin meningkat, kerana banyak daripadanya memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel, sambil turut berdepan kemungkinan kewajipan undang-undang terhadap warga mereka yang berkhidmat di luar negara.
Isu ini merumitkan pendirian diplomatik, khususnya di negara-negara yang undang-undang domestiknya mengehadkan penyertaan dalam angkatan bersenjata asing atau mewajibkan pendakwaan bagi jenayah antarabangsa berat.
Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 72,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak Oktober 2023 dan lebih 171,000lagi cedera, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur awam telah musnah.
Organisasi hak asasi manusia menyatakan usaha pendokumentasian dan kes undang-undang yang sedang berjalan berkemungkinan akan terus berkembang apabila lebih banyak bukti daripada konflik itu muncul. – AGENSI










