Iran dijangka bertemu AS Jumaat ini - Utusan Malaysia

Iran dijangka bertemu AS Jumaat ini

GAMBAR fail sebuah loji kuasa nuklear di Bushehr, Iran. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN – Amerika Syarikat (AS) dan Iran mungkin akan mengadakan rundingan diplomatik di Istanbul, Turkiye pada Jumaat ketika Presiden Donald Trump mempertimbangkan kemungkinan melancarkan serangan ke atas Republik Islam itu, menurut empat diplomat kanan Asia Barat dan seorang pegawai AS kepada laman berita NBC News.

Menurut  mereka, negara-negara lain di rantau tersebut juga dijangka menyertai rundingan itu.

Utusan Khas Rumah Putih, Steve Witkoff dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dijangka menjadi sebahagian daripada delegasi masing-masing, menurut empat sumber tersebut.

Kata dua pegawai kerajaan Republik Islam itu kepada NBC News, Iran bersedia untuk berunding dengan Amerika dan optimis bahawa satu perjanjian boleh dicapai jika matlamatnya adalah untuk menjadikan negara itu bebas daripada senjata nuklear.

Laman berita itu telah menghubungi Rumah Putih dan Jabatan Negara serta kedutaan-kedutaan negara Asia Barat  yang mungkin terlibat dalam rundingan tersebut, namun setakat ini tiada maklum balas segera diberikan.

Tiga diplomat Asia Barat yang membincangkan kemungkinan pertemuan itu memberi amaran bahawa perincian masih sedang diatur dan boleh berubah.

“Ia masih belum dimuktamadkan,” kata salah seorang diplomat itu. 

Seorang pegawai AS berkata, pihak-pihak terlibat sedang berusaha untuk mengatur pertemuan di Istanbul seawal hari Jumaat, namun butirannya belum diputuskan sepenuhnya.

Diplomat-diplomat serantau juga dijangka turut serta, menurut tiga sumber.

Dua diplomat kanan Asia Barat berkata, rundingan tersebut diterajui oleh Turkiye dan disokong oleh Qatar serta Mesir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN