LUBNAN: Lebih setahun selepas Israel terlibat dalam perang berskala penuh dengan Hezbollah yang disokong Iran pada September 2024 hingga memaksa mereka menerima gencatan senjata dua bulan kemudian, laporan terkini mendedahkan bahawa Teheran kini mengawal kumpulan bersenjata itu.
Menurut sumber yang dipetik oleh laman berita Arab Saudi, Al Arabiya, Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sedang melatih anggota-anggota Hezbollah untuk kemungkinan berperang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Pegawai IRGC tidak hanya bertanggungjawab memulihkan keupayaan operasi Hezbollah, tetapi turut mengawasi rancangan secara langsung dan mengadakan mesyuarat dengan kumpulan tersebut di pelbagai wilayah untuk memberi arahan di Lubnan.
KEUPAYAAN HEZBOLLAH
Beberapa pegawai IRGC dilaporkan tiba di Lubnan baru-baru ini bagi membantu Hezbollah membina semula keupayaan ketenteraannya dan mengukuhkan hubungan dengan anggota-anggota kumpulan tersebut.
Ketegangan antara Hezbollah dengan Israel semakin meningkat apabila rejim Zionis melancarkan serangan udara di timur Lubnan, menyebabkan lapan anggotanya terbunuh, Jumaat lalu
Laporan Al Arabiya mendedahkan pegawai-pegawai IRGC ketika itu sedang bertemu anggota-anggota unit peluru berpandu Hezbollah di Lembah Bekaa, Lubnan yang menjadi sasaran serangan Israel.
Tentera Israel bagaimanapun menyatakan anggota-anggota Hezbollah yang terbunuh dikenal pasti terlibat dalam mempercepatkan proses kesiapsiagaan dan pengumpulan kekuatan serta merancang serangan ke arah Israel.
Antara pemimpin tempatan yang terkorban termasuk Ali al-Moussawi, Mohammed al-Moussawi, dan Hussein Yaghi, anak kepada Mohammed Yaghi yang juga pengasas Hezbollah serta pembantu rapat bekas ketuanya yang meninggal dunia, Hassan Nasrallah.
Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem pada Januari lalu menegaskan sebarang serangan terhadap Teheran juga dianggap sebagai serangan terhadap Hezbollah.
Laporan Al Arabiya menyebut kumpulan itu kini meningkatkan kekerapan mesyuarat dalaman bagi persiapan kemungkinan perang dengan Israel, di tengah-tengah penilaian bahawa Iran menekannya untuk menyertai sebarang operasi ketenteraan yang dilancarkan terhadap negara itu.
SERANGAN
Menurut sumber, serangan udara Israel di Lembah Bekaa kemungkinan merupakan pembukaan awal kepada operasi ketenteraan lebih luas yang mungkin bersamaan dengan serangan ke atas Iran.
Walaupun gencatan senjata pada November 2024 berhasrat menamatkan lebih setahun pertikaian dengan Hezbollah, Israel terus melaksanakan serangan berkala di Lubnan, biasanya menyasarkan kumpulan itu, namun kadangkala turut mengenai Hamas.
Laporan media serantau dan analisis Israel menunjukkan ketegangan yang semakin memuncak melibatkan Iran, Hezbollah, Israel dan AS, di tengah-tengah rundingan nuklear yang sedang berlangsung antara Washington serta Teheran.
Secara berasingan, penyiar awam Israel KAN, yang memetik pegawai keselamatan tanpa nama, melaporkan bahawa serangan udara Israel baru-baru ini di Baalbek berpunca daripada aktiviti luar biasa Hezbollah yang melibatkan sistem senjata dan roket.
Laporan itu mendakwa bahawa sekiranya berlaku serangan berpotensi AS–Israel ke atas Iran, Hezbollah boleh menyasarkan Israel dari arah utara. Ia juga mendakwa bahawa kumpulan yang disokong Iran di Iraq dan Houthi di Yemen boleh menyokong tindakan balas.
Timbalan Pengerusi Majlis Politik Hezbollah, Mahmoud Kamati menggambarkan serangan di Baalbek sebagai satu pembunuhan beramai-ramai sambil berkata: “Kami tiada pilihan selain menentang.”
Seorang ahli strategi bersara, Brigadier Jeneral George Nader menyatakan, keputusan Hezbollah untuk menyertai konfrontasi baharu dengan Israel itu tidak dibuat di Lubnan, tetapi di Teheran.
Nader menyatakan keupayaan tempur Hezbollah kini tidak sama seperti sebelum Oktober 2023. Kapasiti ketenteraannya sudah menurun secara signifikan dari segi bilangan anggota dan persenjataan, serta ruang geraknya dalam Lubnan semakin terhad akibat tekanan tentera di negara berkenaan dan pemantauan udara Israel yang berterusan.
Israel juga menjalankan serangan hampir setiap hari terhadap anggota dan infrastruktur Hezbollah, yang menambah kepada kemerosotan keupayaan kumpulan itu. – AGENSI/AFP










