WASHINGTON: Unit dron kamikaze pertama Pentagon dilaporkan bersedia untuk digerakkan sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memutuskan melancar serangan ke atas Iran.
Unit dron itu, dikenali sebagai Pasukan Petugas Scorpion, pada asalnya merupakan unit dron eksperimen tentera AS sebelum dinaik taraf dan kini diisytiharkan bersedia untuk operasi.
Jurucakap Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tim Hawkins dalam kenyataan di e-mel berkata, skuadron itu ditubuhkan tahun lalu bagi mempercepatkan usaha melengkapkan anggota tempur dengan keupayaan dron tempur baharu yang sentiasa berkembang.
Unit dron serangan sehala kini menjadi sebahagian daripada penempatan ketenteraan serantau terbesar AS sejak pencerobohan Iraq pada 2003, yang diarahkan Trump untuk memberi tekanan kepada Iran supaya berunding mengenai program nuklearnya.
Rundingan AS-Iran diteruskan pada Khamis di Geneva, dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan kedua-dua pihak mencapai kemajuan baik dan pusingan rundingan baharu boleh diadakan tidak lama lagi.
Satu daripada unit dron itu berjaya menjalani ujian pelancaran di Teluk Arab pada pertengahan Disember 2025 dari dek penerbangan USS Santa Barbara, sebuah kapal tempur pesisir yang kini berada di rantau berkenaan sebagai sebahagian daripada armada AS.
Kerahan unit dron itu menandakan peralihan daripada kebergantungan tentera AS terhadap platform bernilai jutaan dolar seperti MQ-9 Reaper, yang semakin sukar untuk dibenarkan dalam konflik berasaskan serangan beramai-ramai dengan kadar kerugian tinggi, kata penganalisis pertahanan, Forecast International, Anna Miskelley.
CENTCOM menganggarkan dron Sistem Serangan Tempur Tanpa Pemandu Kos Rendah (LUCAS) berharga kira-kira AS$35,000 (RM135,980) setiap satu.
Dron LUCAS ringan dihasilkan oleh SpektreWorks yang berpangkalan di Arizona dan boleh dilancarkan untuk serangan sehala, misi risikan serta serangan maritim, selain daripada tugasan lain.
Menurut kenyataan berasingan CENTCOM, dron berkenaan mempunyai jarak yang luas dan direka untuk beroperasi secara autonomi.
Walaupun unit dron hanyalah sebahagian kecil daripada penggunaan yang lebih luas, penglibatannya dalam sebarang tindakan ketenteraan yang akan datang akan menjadi pertama untuk unit baharu ini.
Ia juga boleh mengesahkan mandat Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu oleh tentera AS.- BLOOMBERG










