Brazil arah X sekat Grok hasil imej seksual - Utusan Malaysia

Brazil arah X sekat Grok hasil imej seksual

LAMAN web Grok Imagine yang dipaparkan pada skrin komputer. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Brazil mengarahkan rangkaian media sosial X milik bilionair, Elon Musk untuk menghentikan chatbot Grok daripada menghasilkan imej seksual dan menjadi negara terkini yang menekan beliau untuk memperbaiki teknologi kecerdasan buatan (AI) itu.

Indonesia menjadi negara pertama yang menyekat Grok sepenuhnya bulan lalu, manakala Britain dan Perancis berkata, mereka akan terus memberi tekanan selepas chatbot itu menghasilkan banyak imej lucah wanita serta kanak-kanak.

“Platform X harus segera melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk menghalang Grok daripada menghasilkan kandungan seksual atau erotik kanak-kanak, remaja termasuk orang dewasa tanpa kebenaran,” kata ketua pendakwa raya Brazil, Agensi Perlindungan Data Nasional (ANPD) dan Biro Hak Pengguna Negara (Senacon).

Pihak berkuasa memberi X tempoh lima hari untuk mematuhi arahan itu atau berisiko dikenakan tindakan undang-undang dan denda.

Platform X mendakwa sudah memadamkan ribuan hantaran dan menutup ratusan akaun selepas menerima amaran bulan lalu. 

Namun, semakan mendapati pengguna Grok masih mampu menghasilkan imej, video, atau audio yang diubah atau dihasilkan menggunakan AI seksual. Pihak berkuasa mengkritik X kerana tidak telus dalam tindak balasnya.

Sebelum ini, X mengumumkan langkah bagi menghalang Grok melucutkan pakaian orang sebenar di negara yang menganggap tindakan itu menyalahi undang-undang. 

Masih tidak jelas langkah itu sedang dilaksanakan.

Tekanan antarabangsa terhadap xAI semakin meningkat selepas ciri ‘Spicy Mode’ dalam Grok membolehkan pengguna menghasilkan imej seksual wanita dan kanak-kanak hanya menggunakan arahan teks mudah.

Menurut Pusat Menentang Kebencian Digital (CCDH), Grok dijangka sudah menghasilkan kira-kira tiga juta imej seksual wanita dan kanak-kanak dalam beberapa hari sahaja.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN