AS rampas kapal tangki minyak dari perairan Venezuela - Utusan Malaysia

AS rampas kapal tangki minyak dari perairan Venezuela

KAPAL Aquila II dirampas oleh tentera AS. - Foto DeptofWar/X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Operasi pemburuan besar-besaran selama sebulan dari perairan Venezuela sehingga ke Lautan Hindi berakhir apabila tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya menawan sebuah kapal tangki minyak yang cuba meloloskan diri daripada sekatan kuarantin.

Kapal tangki tersebut, Aquila II, merupakan kapal kelapan yang dirampas oleh AS sejak pentadbiran Presiden Donald Trump melancarkan operasi besar-besaran terhadap penghantaran minyak haram di Caribbean, satu langkah drastik untuk memutuskan sumber pendapatan utama Venezuela.

Aquila II dilaporkan antara beberapa buah kapal ‘melarikan’ diri dari kawasan tersebut pada awal Januari lalu, sejurus selepas Trump menangkap Nicolas Maduro yang merupakan Presiden Venezuela ketika itu.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menerusi hantaran di platform X turut mengeluarkan amaran keras kepada pengendali kapal tangki lain.

“Cuba larikan diri dan kami mengekorinya. Sama ada di darat, udara atau laut, tentera kami akan mencari anda dan menegakkan keadilan. Anda akan kehabisan bahan api jauh lebih awal sebelum anda mampu melarikan diri daripada kami,” tulisnya.

AS dilaporkan mengenakan sekatan ke atas kapal itu pada 10 Januari lalu atas dakwaan mengangkut minyak Russia. Sebelum ini, United Kingdom (UK) juga telah menyekat kapal tersebut kerana mempunyai kaitan dengan Russia. 

Sebelum ini, Aquila II dikesan memuatkan hampir sejuta tong minyak mentah di terminal Jose, Venezuela pada 6 Disember lalu.

Dalam satu video yang dikongsi oleh Jabatan Perang (DOW), pasukan tentera AS dilihat bergerak pantas menaiki dek kapal tersebut menggunakan tali daripada helikopter dalam operasi yang dilakukan sebelum subuh.

“Apabila DOW menetapkan kuarantin, kami maksudkannya. Tiada apa yang akan menghalang DOW daripada mempertahankan tanah air kami, walaupun di lautan yang terletak di separuh dunia jauhnya,” tulis hantaran rasmi jabatan tersebut.

Rampasan itu menandakan kejayaan kelapan sejak pentadbiran Trump menguatkuasakan sekatan penuh terhadap kapal tangki minyak Venezuela yang bermula pada Disember tahun lalu.

Markas Pemerintahan Selatan AS (SOUTHCOM) mengesahkan bahawa kapal itu ditahan tanpa sebarang insiden ketika cuba beroperasi dengan mengingkari arahan kuarantin yang ditetapkan oleh Trump di Caribbean. 

Bagaimanapun, SOUTHCOM tidak mendedahkan sama ada Pengawal Pantai AS atau pasukan Marin yang mengetuai unit serbuan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN