Anutin dijangka kekalkan jawatan PM Thailand - Utusan Malaysia

Anutin dijangka kekalkan jawatan PM Thailand

ANUTIN (depan) berjalan ketika berkempen di Taman Lumpini, Bangkok, 30 Januari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pewaris empayar pembinaan, Anutin Charnvirakul yang bertaraf bilionair dijangka akan kekal sebagai Perdana Menteri Thailand selepas pilihan raya umum diadakan pada Ahad ini.

Partinya, Bhumjaithai menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya lalu, namun tokoh konservatif berusia 59 tahun  yang mempelopori pengguguran status jenayah ganja di Thailand itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada September tahun lepas selepas pendahulunya, Paetongtarn Shinawatra disingkirkan melalui perintah mahkamah.

Beliau menyandang jawatan tersebut dengan sokongan Parti Rakyat yang bersifat reformis, kumpulan terbesar di Parlimen dan menurut tinjauan pendapat, dijangka sekali lagi muncul sebagai parti teratas mengatasi Bhumjaithai.

Namun, tiada parti dijangka memperoleh majoriti mutlak dan penganalisis meramalkan Anutin akan muncul sebagai ketua kerajaan baharu hasil rundingan pasca-pilihan raya bagi membentuk gabungan memerintah Thailand..

Rakan gabungan paling berpotensi ialah Pheu Thai, parti keluarga Shinawatra yang mendominasi politik Thailand selama dua dekad, meskipun pengasas dan bekas perdana menterinya, Thaksin Shinawatra kini dipenjarakan.

“Saya memegang jawatan ini dengan sokongan majoriti di Parlimen. Jadi, ia jelas bersifat demokratik. Saya tidak pernah bersedia untuk kalah,” kata Anutin sambil menikmati semangkuk mi bersama ahli-ahli parti ketika berkempen di kawasan Chinatown di ibu negara.

Walaupun bergelar bilionair, Anutin menampilkan imej sebagai pemimpin dekat dengan rakyat, gemar makanan jalanan dan sering muncul di media sosial memakai kemeja-T serta seluar pendek sambil memasak atau mempersembahkan lagu pop Thailand era 1980-an.

Sebagai pewaris kepada sebuah dinasti politik dan perniagaan, kekayaan keluarga itu berpusat pada Sino-Thai Engineering, sebuah syarikat pembinaan yang telah memperoleh kontrak kerajaan bernilai tinggi selama beberapa dekad, termasuk bagi lapangan terbang utama Bangkok serta bangunan parlimen.

Bapanya pernah menjadi perdana menteri sementara semasa krisis politik pada tahun 2008, sebelum berkhidmat selama tiga tahun sebagai menteri dalam negeri.

Nasib politik Anutin sejak sekian lama saling berkait dengan keluarga Shinawatra, sama ada sebagai sekutu mahupun sebagai pesaing.

Parti Bhumjaithai pimpinannya digelar ‘kameleon politik’ kerana sering menyertai beberapa gabungan kerajaan dan beliau sendiri pernah menjadi timbalan kepada tiga perdana menteri sebelum ini, termasuk Paetongtarn.

Penganalisis berkata, gelombang nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja mengukuhkan sokongan terhadap Bhumjaithai yang menentang pelonggaran undang-undang ketat berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja dan dilihat sebagai bukti kecenderungan konservatif parti berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN