KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pembangkang mendesak kerajaan mengadakan sidang tergempar sekali lagi bagi membincangkan isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia, serta membuka ruang untuk perbahasan terbuka melibatkan kedua-dua pihak.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sesi penerangan satu hala yang diadakan sebelum ini tidak mencukupi, sebaliknya isu sebesar persempadanan negara perlu dibahaskan secara terbuka melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
“Pada peringkat awal, Yang Dipertua Dewan Rakyat, telah memberi kebenaran kepada seorang pembahas daripada setiap pihak untuk membahaskan perkara itu, namun kebenaran tersebut kemudiannya ditarik balik tanpa penjelasan.
“Kenapa kebenaran untuk berbahas itu ditarik balik? Ini menimbulkan persoalan besar,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata Perikatan Nasional (PN) telah membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) bagi menyegerakan perbahasan semula isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia bagi menutup kelompongan maklumat yang wujud.
Menurutnya, Perdana Menteri sendiri mengakui masih banyak isu berkaitan sempadan yang belum diselesaikan, sekali gus membuktikan keperluan perbahasan lanjut demi ketelusan.
“Kami mahu rakyat menilai sendiri hujah ahli-ahli Dewan Rakyat. Isu melibatkan persempadanan wilayah negara tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan sempadan negara perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 2, yang mensyaratkan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) wilayah terlibat, khususnya Sabah, selain mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, wakil rakyat di DUN Sabah sebelum ini turut membangkitkan bahawa tiada sebarang enakmen diluluskan berkaitan persempadanan semula wilayah Sabah melibatkan sempadan Malaysia–Indonesia.
“Semalam Perdana Menteri kata perkara ini belum selesai, tetapi pada masa sama keputusan seolah-olah sudah dibuat dengan pelepasan kawasan 5,000 hektar itu. Ini bercanggah dan mengelirukan,” katanya.
Beliau turut mendakwa ahli-ahli Parlimen tidak dibekalkan sebarang dokumen rasmi berkaitan perkara itu, selain paparan peta di Dewan Rakyat yang sukar diteliti dan tidak jelas keterangannya.
“Kalau peta pun tidak jelas, legend pun tidak terang, bagaimana kita mahu bercakap soal ketelusan kepada rakyat?,” katanya. – UTUSAN










