55,000 tentera Ukraine terbunuh sejak perang - Zelenskyy

55,000 tentera Ukraine terbunuh sejak perang – Zelenskyy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menganggarkan 55,000 tentera Ukraine terkorban dalam perang dengan Russia, termasuk sebilangan besar yang dilaporkan hilang.

Kenyataan Zelenskyy pada Rabu dibuat menjelang ulang tahun keempat pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan ketika rundingan gencatan senjata penting di Abu Dhabi berlangsung, di mana perunding berusaha menamatkan konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Di Ukraine, secara rasminya jumlah askar yang terkorban di medan perang, sama ada profesional atau dipanggil mengikuti perkhidmatan ketenteraan, ialah 55,000 orang,” kata Zelensky dalam rakaman temu bual di France 2 TV.

Beliau berkata, selain angka korban itu, terdapat ‘sebilangan besar’ yang dianggap hilang secara rasmi.

Bagaimanapun, pemimpin Ukraine itu tidak memberikan angka tepat untuk jumlah askar yang hilang.

Sebelum ini, Zelenskyy pernah memetik angka korban tentera Ukraine dalam temu bual dengan rangkaian televisyen NBC pada Februari 2025, mendakwa lebih 46,000 anggota perkhidmatan terbunuh di medan perang.

Pada pertengahan tahun 2025, Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, menganggarkan hampir 400,000 tentera Ukraine terbunuh atau cedera sejak perang bermula.

Bulan lalu, Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB di Ukraine melaporkan serangan Russia membunuh 2,514 orang awam dan mencederakan 12,142 lagi di Ukraine pada 2025, hampir satu pertiga lebih tinggi berbanding jumlah korban pada 2024.

Russia turut mengalami kerugian besar dalam perang yang sedang berlangsung.

Pada Januari, komander tentera Ukraine, Oleksandr Syrskii, dipetik berkata hampir 420,000 tentera Russia terbunuh atau cedera hanya pada 2025 semasa bertempur dengan pasukan Ukraine.

Pada Oktober 2025, perisikan pertahanan Britain menganggarkan jumlah keseluruhan tentera Russia yang terbunuh atau cedera dalam perang tersebut mencecah 1.1 juta orang.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN