2 kapal tentera laut AS berlanggar - Utusan Malaysia

2 kapal tentera laut AS berlanggar

GAMBAR fail kapal perang USS Truxtun. - Foto USN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dua buah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS)  terlibat dalam satu perlanggaran yang jarang berlaku di Laut Caribbean kelmarin menyebabkan dua anggota mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Markas Selatan AS, Kolonel Emmanuel Ortiz mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa insiden tersebut melibatkan kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, USS Truxtun (DDG103) dan kapal sokongan tempur pantas kelas Supply, USNS Supply (T-AOE-6).

Perlanggaran itu berlaku ketika kedua-dua kapal sedang menjalankan proses pengisian semula di laut (RAS). Ia merupakan satu prosedur di mana dua kapal belayar bersebelahan pada jarak dekat untuk memindahkan bekalan melalui kabel. 

Menurut Ortiz, dua kakitangan yang cedera kini berada dalam keadaan stabil, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa berada di atas kapal pemusnah, kapal bekalan atau kedua-duanya sekali. 

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua kapal dilaporkan masih boleh belayar dengan selamat dan punca kejadian kini sedang disiasat.

Seorang pegawai AS menyatakan bahawa penilaian kerosakan bagi perlanggaran terbaru di Caribbean ini sedang dijalankan bagi menentukan sama ada kapal-kapal tersebut boleh meneruskan misi penugasan atau perlu pulang ke pelabuhan. 

Kapal USS Truxtun baru sahaja meninggalkan pangkalan asalnya di Norfolk, Virginia pada 6 Februari lalu untuk memulakan penugasan di Caribbean sebagai sebahagian daripada pengukuhan kehadiran tentera laut AS di rantau tersebut.

Kehadiran besar aset ketenteraan itu telah dikekalkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan tindakan Amerika menahan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bulan lalu. 

Insiden perlanggaran di laut dianggap sangat jarang berlaku bagi armada Tentera Laut AS. Kes terakhir yang direkodkan adalah pada 12 Februari 2025 di Laut Mediterranean yang melibatkan kapal pengangkut pesawat USS Harry S. Truman dengan sebuah kapal dagang di luar perairan Port Said, Mesir. 

Walaupun insiden tahun lalu itu tidak menyebabkan kecederaan, kerosakan yang dialami oleh kapal pengangkut pesawat berkenaan cukup serius sehingga ia terpaksa berhenti di pelabuhan untuk kerja-kerja pembaikan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN