LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) memberi lampu hijau kepada China untuk membina sebuah kedutaan mega di tengah bandar London, lapan tahun selepas Beijing membeli tapak berkenaan.
Ia sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat, ahli Parlimen dan kumpulan hak asasi manusia yang bimbang tapak berskala besar itu boleh digunakan untuk aktiviti pengintipan.
Tapak seluas 20,000 meter persegi di Royal Mint Court yang berusia dua abad itu dijangka menjadi kompleks kedutaan terbesar di UK dari segi keluasan, serta antara yang terbesar di pusat sebuah ibu negara Barat.
Keputusan Menteri Perumahan, Steve Reed untuk meluluskan kebenaran perancangan dibuat selepas beberapa kali tertangguh susulan kebimbangan berkaitan keselamatan negara.
Reed berkata, keputusan itu kini muktamad, kecuali jika terdapat cabaran yang berjaya di mahkamah sementara seorang jurucakap kerajaan berkata, agensi perisikan turut membantu membangunkan satu rangka kerja bagi mengurus sebarang risiko.
“Susulan rundingan meluas dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan China bersetuju untuk menyatukan tujuh tapak kedutaannya yang sedia ada di London ke satu lokasi, yang membawa kelebihan keselamatan yang jelas,” kata jurucakap itu.
Akhbar berhaluan kanan Daily Telegraph minggu lalu melaporkan memperoleh pelan tanpa suntingan yang menunjukkan tapak itu akan menempatkan 208 bilik bawah tanah, termasuk sebuah ruang tersembunyi.
Walaupun kelulusan kedutaan itu dijangka membantu memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara, kebimbangan lain mengenai dakwaan aktiviti perisikan China di Britain serta tindakan keras terhadap hak asasi di Hong Kong masih berpotensi merumitkan keadaan.-AFP









