GENDANG Pahang atau dikenali sebagai gendang ketawak merupakan antara warisan seni muzik tradisional Melayu yang mempunyai nilai sejarah tinggi dan pernah mendominasi kehidupan istana sejak ratusan tahun lalu.
Mengikut catatan sejarah, gendang ketawak diperkenalkan oleh seorang pemimpin dikenali sebagai Datuk Perba Jelai dan dimainkan oleh masyarakat yang mendiami kawasan sepanjang
Sungai Jelai dan Sungai Pahang lebih dua abad lalu.
Alat muzik tradisional itu sering dimainkan bagi memeriahkan majlis keramaian, perkahwinan, acara rasmi, mengiringi tarian tradisional Melayu, persembahan silat serta menyambut dan mengiringi pembesar negeri.
Dari perspektif sejarah, bunyi ketukan gendang ketawak sinonim dengan kehidupan istana dan sering mengiringi majlis persilatan serta adat istiadat diraja sejak zaman dahulu.
Kini, muzik gendang ketawak turut menerima pengaruh Islam apabila irama yang digubah digandingkan dengan peralatan muzik yang dibawa dari negara Asia Barat.
Kepentingan gendang ketawak dalam tradisi Melayu turut dibuktikan menerusi catatan dalam sejarah Melayu yang menggambarkan adat perkahwinan diraja Johor-Pahang yang diserikan dengan alunan bunyi gendang dan peralatan muzik tradisional lain.
Dari sudut klasifikasi muzik, gendang tergolong dalam kategori membranofon, iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui getaran kulit atau membran yang diregang dan dipalu menggunakan tangan atau kayu.
Pelbagai jenis gendang dan rebana Melayu termasuk dalam kategori ini dan kebiasaannya digunakan dalam lagu rakyat serta muzik tradisional seperti gamelan dan caklempong.
Gendang lazimnya diperbuat daripada kulit haiwan seperti kerbau, kambing atau lembu dan tergolong dalam keluarga alat muzik genderang yang wujud dalam pelbagai budaya.
Setiap kaum di Malaysia, termasuk Melayu, Cina dan India, memiliki identiti gendang tersendiri yang melambangkan keunikan budaya masing-masing.
Dalam konteks masyarakat Melayu, gendang digunakan dalam pelbagai acara termasuk persilatan, tarian, perayaan serta istiadat pertabalan raja.
Gendang ketawak Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia tidak diiringi serunai seperti kebanyakan gendang dari negeri lain.
Secara tradisional, gendang ketawak hanya menggunakan tiga alat utama iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong.
Peralatan tersebut diperbuat daripada gabungan kayu sebagai baluh, kulit haiwan serta rotan sebagai pengikat.
Saiz gendang biasanya lebih besar di bahagian kanan dan lebih kecil di sebelah kiri, yang di beberapa negeri lain dikenali sebagai gedombak.
Pembuat gendang ketawak Pahang, Mohd. Don Abd. Rahman berkata, usaha menghasilkan alat muzik tradisional itu kini berdepan cabaran besar apabila bahan mentah semakin sukar diperoleh.
Katanya, kayu seperti nangka, sena, halban, tutuh dan bangkong, selain rotan serta kulit kambing, merupakan bahan penting dalam pembuatan gendang.
“Saya sendiri mencari kayu dan mendapatkan rotan daripada penduduk Orang Asli, selain perlu mendapatkan keizinan tuan tanah untuk menebang pokok yang sesuai,” katanya.
Mohd. Don memberitahu, kayu yang ditebuk dan dibentuk dikenali sebagai baluh sebelum dipasang kulit haiwan yang telah dikeringkan dan diikat menggunakan rotan.
Katanya, kelangsungan kerja sebagai pembuat kraf tangan tradisional itu mungkin terhenti dalam beberapa tahun akan datang sekiranya bahan mentah terus sukar diperoleh dan minat masyarakat semakin berkurangan.
“Warisan ini mungkin berkubur apabila generasi muda lebih tertarik kepada peranti elektronik dan dunia digital. Anak saya sendiri pun tidak berminat,” katanya.
Namun begitu, dia tetap berusaha meneruskan pembuatan gendang dan kompang selagi termampu demi memastikan warisan tersebut tidak lenyap ditelan zaman.
Katanya, dia hanya mampu menyiapkan beberapa set gendang dan kompang setiap bulan bergantung kepada bekalan bahan yang diperoleh.
Walaupun berdepan kekangan, hasil krafnya mendapat permintaan dari seluruh Pahang, Sabah dan Johor, malah pernah dihantar kepada sebuah pertubuhan pencak silat di Belanda.
Selain membuat gendang, dia bersama rakan turut membuat persembahan di majlis perkahwinan dan program anjuran agensi kerajaan, sekali gus membantu memperkenalkan seni muzik tradisional Pahang ke peringkat lebih luas.










