DAVOS: Tujuh buah negara termasuk Arab Saudi, Turkiye, dan Mesir mengesahkan penyertaan mereka dalam badan inisiatif keamanan kendalian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dikenali sebagai Lembaga Keamanan.
Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan tersebut akan menyertai Israel yang terlebih dahulu mengesahkan penglibatan mereka secara terbuka.
Pada petang Rabu, Trump mendakwa Presiden Russia, Vladimir Putin turut bersetuju untuk menyertai badan tersebut, namun Moscow masih meneliti jemputan berkenaan.
Pada asalnya, Lembaga Keamanan dianggap sebagai badan yang bertujuan membantu menamatkan perang dua tahun antara Israel dan Hamas di Gaza serta memantau proses pembangunan semula.
Bagaimanapun, draf piagam badan itu tidak menyebut secara khusus mengenai wilayah Palestin, sebaliknya dilihat seolah-olah direka untuk mengambil alih peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pada itu, Arab Saudi menyatakan kumpulan negara majoriti Islam merangkumi Arab Saudi, Turkiye, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, dan Qatar menyokong matlamat untuk mengukuhkan gencatan senjata kekal di Gaza, menyokong usaha pembangunan semula, serta memacu apa yang disifatkan mereka sebagai keamanan yang adil dan berkekalan.
Ketika berucap kepada wartawan di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Switzerland, Trump menegaskan Putin telah menerima jemputannya.
“Putin telah dijemput dan beliau menerimanya. Ramai yang telah bersetuju untuk menyertai kami,” kata Trump.
Bagaimanapun, memetik laporan Reuters, Putin memberikan maklum balas segera dengan menyatakan jemputan tersebut masih dalam pertimbangan.
Beliau menambah Russia bersedia menyumbang AS$1 bilion (RM4.04 bilion) daripada aset negara itu yang dibekukan dan melihat badan itu lebih relevan untuk konteks Asia Barat.
Sehingga kini, jumlah sebenar negara yang dijemput menyertai badan baharu itu masih belum jelas.
Kanada dan United Kingdom (UK) antara yang tersenarai namun belum memberikan maklum balas rasmi.
Antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Albania, Armenia, Azerbaijan, Belarus, Hungary, Kazakhstan, Maghribi, dan Vietnam.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak Vatican mengesahkan Pope Leo turut menerima jemputan tersebut.
Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Pietro Parolin berkata, Pope memerlukan masa untuk mempertimbangkan penglibatannya.
Namun, tidak semua pihak menyambut baik inisiatif ini. Perdana Menteri Slovenia, Robert Golob, bertindak menolak jemputan itu dengan alasan badan berkenaan menggugat ketenteraman antarabangsa secara berbahaya.
Norway dan Perancis juga mengumumkan tidak akan menyertai lembaga tersebut.
Berdasarkan dokumen yang tiris, piagam Lembaga Keamanan akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja tiga negara bersetuju secara rasmi.
Ahli lembaga akan diberi tempoh penggal tiga tahun yang boleh diperbaharui, manakala kerusi tetap ditawarkan kepada negara yang menyumbang AS$1 bilion.
Piagam itu juga mengisytiharkan badan tersebut sebagai organisasi antarabangsa yang diberi mandat untuk menjalankan fungsi membina keamanan di bawah undang-undang antarabangsa.
Trump akan bertindak sebagai Pengerusi merangkap wakil AS dengan kuasa mutlak untuk melantik ahli lembaga eksekutif serta membentuk atau membubarkan badan subsidiari.-AGENSI










