WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump cuba menghapuskan peranan dan usaha keras dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui penubuhan Lembaga Keamanan yang dipengeruskan beliau tanpa sebarang had masa itu.
Tindakan itu menimbulkan kebimbangan lembaga tersebut yang awalnya bertujuan membawa keamanan di Gaza digunakan sebagai ‘alat baharu’ Trump untuk memperluaskan hegemoni AS.
Beliau malah lantang mengkritik pertubuhan yang ditubuhkan lebih 80 tahun lalu untuk mengekalkan keamanan dunia itu, mendakwa ia tidak tidak pernah mencapai potensinya.
“PBB tidak banyak membantu. PBB sepatutnya menyelesaikan setiap perang yang saya selesaikan. Saya tidak pernah pergi kepada mereka, malah tidak terfikir untuk pergi,” katanya.
Sebelum kenyataan Trump, beberapa diplomat sudah menyuarakan kebimbangan mengenai keahlian lembaga itu, termasuk harga AS$1 bilion (RM4.04 bilion) bagi satu kerusi tetap.
Beberapa negara berkata, jumlah itu memerlukan kajian teliti daripada pasukan ekonomi dan bajet mereka.
Seorang pegawai AS berkata, dana itu akan digunakan untuk membina semula Gaza dan perbincangan awal dengan syarikat kontraktor sudah dijalankan, tetapi tiada rancangan yang dimuktamadkan atau digambarkan secara rasmi.
STRUKTUR LEMBAGA DAN KEAHLIAN
Minggu lalu, Rumah Putih mengumumkan senarai ahli Lembaga Eksekutif Pengasas termasuk menantu Trump, Jared Kushner; Setiausaha Negara, Marco Rubio; utusan khas Steve Witkoff, dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Menurut draf piagam yang diperoleh CNN, Trump akan menjadi pengerusi tanpa had masa dan hanya boleh diganti melalui peletakan jawatan sukarela atau ketidakupayaan, berdasarkan undian sebulat suara ahli lembaga eksekutif.
Trump menghantar jemputan kepada beberapa negara untuk menyertai lembaga itu dan dijangka menganjurkan majlis menandatangani piagam di Davos minggu ini.
Setakat ini, United Arab Emirates (UAE), Bahrain, Azerbaijan, Maghribi, Vietnam, Kazakhstan, Hungary, Argentina dan Belarus mengesahkan penyertaan. Jemputan juga dihantar kepada pemimpin Paraguay, Kanada, Mesir, Turkiye, Russia, Israel, India, Slovenia, Thailand, Singapura dan Kesatuan Eropah (EU). Namun, beberapa negara seperti Perancis menolak jemputan itu.
Kebimbangan timbul apabila negara seperti Russia yang sedang terlibat dalam konflik bersenjata, dijemput untuk menyertai lembaga tersebut.
“Putin pasti akan menggunakan keahlian Russia di Lembaga Keamanan untuk melemahkan PBB dan seterusnya menimbulkan perpecahan dalam pakatan Amerika,” kata bekas timbalan duta AS ke PBB, Robert Wood.
Menteri Luar Britain, Yvette Cooper turut senada dengan Wood berhubung penyertaan Russia.
“Putin bukan seorang lelaki keamanan dan saya rasa beliau tidak patut berada dalam mana-mana organisasi yang menggunakan perkataan ‘keamanan’ dalam namanya,” katanya.
KEBIMBANGAN ANTARABANGSA
Piagam lembaga itu tidak menyebut Gaza secara khusus, sebaliknya digambarkan sebagai organisasi antarabangsa yang meningkatkan kestabilan, memulihkan tadbir urus sah dan menjamin keamanan berpanjangan di kawasan yang terjejas atau diancam konflik.
Sumber rapat dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memberitahu NBC News, beliau enggan memberikan jawapan yang positif terhadap jemputan tersebut.
Menurut Macron, ia berikutan wujud persoalan besar mengenai penghormatan terhadap PBB dan sama ada lembaga itu mungkin bertindak sebagai pesaing kepada Majlis Keselamatan, badan paling berkuasa di PBB yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II.
Dalam satu kenyataan berasingan, pejabat Macron berkata, piagam lembaga itu melangkaui rangka kerja semata-mata untuk Gaza dan menimbulkan persoalan serius, khususnya berkaitan prinsip dan struktur PBB, yang tidak sepatutnya dipersoalkan.
“Piagam ini tidak terhad kepada Gaza, manakala resolusi PBB yang kami sokong sebelum ini memang menumpukan kepada Gaza dan Asia Barat. Ini menimbulkan persoalan serius berkaitan rasional piagam PBB,” kata jurucakap Kementerian Luar Perancis, Pascal Confavreux.
Sebagai tindak balas, Trump pada lewat Isnin mengancam untuk mengenakan cukai import 200 peratus ke atas wain dan champagne Perancis, dipercayai sebagai usaha untuk menekan Macron agar menukar pendiriannya supaya menyertai lembaga tersebut.
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee menyatakan negaranya akan menimbang jemputan itu dengan teliti, tetapi menegaskan mandat lembaga ini lebih luas daripada pelan keamanan Gaza.
Pegawai kemanusiaan utama PBB, Tom Fletcher menegaskan lembaga Trump tidak akan berupaya menggantikan PBB.
Seorang bekas perunding Asia Barat bagi AS, Aaron David Miller turut meragui kemampuan lembaga itu untuk menggantikan peranan PBB.
“Segalanya terlalu jauh daripada realiti di bumi. Konflik tidak diselesaikan oleh organisasi luaran, tetapi oleh perunding yang bekerja dengan kedua-dua pihak yang bertelagah,” tegasnya.-AGENSI










