CARACAS: Pengawal keselamatan kepada pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, mendakwa pasukan Amerika Syarikat (AS) menggunakan senjata sonik misteri semasa serbuan yang membawa kepada penangkapan presiden negara itu.
Menurut pengawal yang dirahsiakan nama, AS menggunakan teknologi yang belum pernah dilihat sebelum ini, termasuk peranti menyerupai gelombang bunyi sangat kuat.
Katanya, peranti tersebut menyebabkan anggota keselamatan Venezuela muntah dan hidung berdarah, selain menganggap serangan itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.
“Ia adalah pembunuhan beramai-ramai. Kami beratus-ratus orang, tetapi tidak sempat bertindak. Mereka menembak dengan tepat dan pantas, seolah-olah setiap askar melepaskan 300 das tembakan seminit,” katanya.
Ditanya mengenai senjata Venezuela dan sama ada ia membantu ketika menentang serbuan itu, pengawal tersebut menjawab:”Tidak membantu sama sekali. Kerana bukan hanya senjata, ketika itu mereka melancarkan sesuatu yang sukar untuk digambarkan, seperti gelombang bunyi yang sangat kuat.”
Operasi tersebut mengorbankan kira-kira 34 warganegara Cuba, sementara Menteri Dalam Negeri Venezuela, Diosdado Cabello mendakwa, 110 nyawa terbunuh.
Cabello, yang pernah menjadi tokoh penting semasa era Presiden Hugo Chávez, turut dikenakan sekatan AS bersama ahli keluarganya atas dakwaan penyeludupan dadah.
Dalam temu bual dengan seorang pengawal keselamatan yang setia kepada Maduro, dia menggambarkan pasukannya tidak berdaya menentang kekuatan tentera Amerika dan memberi amaran tegas kepada negara-negara Amerika Latin supaya tidak mencabar AS.
“Dua puluh tentera mereka, tanpa seorang pun terkorban, membunuh beratus-ratus daripada kami.
“Kami tidak mampu bersaing dengan teknologi dan senjata mereka. Saya bersumpah, belum pernah melihat sesuatu seperti itu. Kami tidak dapat berdiri lagi selepas senjata sonik tersebut atau apa sahaja yang digunakan itu,” kata pengawal itu.- AGENSI










