LONDON: Beberapa restoran rantaian terkemuka didakwa bertindak licik dengan menyamar sebagai premis bebas di aplikasi penghantaran makanan di United Kingdom (UK) untuk mengaburi mata pelanggan yang mahu menyokong peniaga kecil atau memboikot jenama mereka.
Beberapa rangkaian restoran termasuk Pizza Hut, TGI Fridays, Frankie & Benny’s, Las Iguanas dan Barburrito didakwa menggunakan jenama berbeza di aplikasi seperti Deliveroo dan Just Eat, sekali gus memberi gambaran seolah-olah mereka adalah perniagaan kecil atau restoran bebas.
Pemilik ONJA dan Taste of Tanzania di Cardiff, Justina John, 45, yang membuka restorannya kira-kira setahun lalu berkata, tindakan tersebut menyukarkan usaha restoran-restoran atau peniaga kecil untuk terus bertahan.
“Situasi kini umpama ikan kecil yang sedang berenang bersama jerung. Tindakan ini tidak beretika, kerana sembilan daripada sepuluh pelanggan yang membuat pesanan dari ‘dapur hantu’ ini melakukannya kerana nama premis yang digunakan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif The Delivery.World, Peter Backman berkata, amalan itu mengelirukan sekiranya pelanggan ingin menyokong restoran dan perkhidmatan penghantaran bebas.
“Ia sangat licik, dan tidak adil kepada perniagaan kecil. Perkara yang memastikan kami terus hidup hanyalah keaslian. Ada perkara tertentu yang tidak boleh dipalsukan,” katanya.
Peniaga-peniaga kecil di UK menggesa platform penghantaran agar memikul tanggungjawab lebih besar, termasuk mengesahkan senarai perniagaan dan membantu restoran kecil dengan mengasingkan mereka di setiap aplikasi pesanan makanan dan penghantaran.
Just Eat, Deliveroo dan Uber Eats masing-masing berkata, jenama maya boleh digunakan oleh mana-mana perniagaan, termasuk peniaga kecil.-AGENSI










