TEHERAN: Sebilangan rakyat Iran masih menggunakan perkhidmatan internet satelit Starlink milik jutawan teknologi, Elon Musk, meskipun negara itu berdepan sekatan komunikasi di peringkat kebangsaan, menurut tiga sumber di dalam negara.
Ia menjadi contoh terbaharu penggunaan Starlink bagi menangkis penutupan internet di kawasan konflik geopolitik.
Pihak berkuasa Iran sejak beberapa hari lalu melancarkan tindakan keras terhadap protes di seluruh negara, termasuk menutup hampir sepenuhnya perkhidmatan internet yang biasanya disalurkan menerusi kabel gentian optik dan menara telefon.
Namun, Starlink yang memancarkan perkhidmatannya terus daripada ribuan satelit di orbit rendah bumi masih berfungsi di beberapa kawasan di Iran, walaupun ia diharamkan oleh pihak berkuasa tempatan, menurut tiga pengguna Starlink di negara itu yang ditemu bual Reuters.
Seorang daripada pengguna di barat Iran berkata, dia mengetahui puluhan individu yang menggunakan Starlink, manakala pengguna di pekan dan bandar berhampiran sempadan dilaporkan tidak terjejas secara ketara.
Pengasas kumpulan pemantau internet NetBlocks, Alp Toker berkata, beliau menerima maklumat daripada individu di rantau itu masih terdapat akses Starlink di Iran, walaupun perkhidmatan tersebut kelihatan berkurangan.
“Ia tidak menyeluruh, tetapi masih ada,” katanya.
Walaupun tidak jelas bagaimana perkhidmatan Starlink diganggu di Iran, beberapa pakar berkata ia mungkin berpunca daripada gangguan isyarat ke atas terminal Starlink yang menjejaskan keupayaan peranti berkenaan menerima isyarat daripada satelit.
Starlink, yang merupakan sebahagian daripada syarikat swasta Amerika Syarikat (AS) SpaceX, tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.
Pihak berkuasa Iran pula tidak dapat dihubungi pada Isnin susulan gangguan telefon dan internet.
Kerajaan Iran sebelum ini menyalahkan kegelisahan awam itu ke atas pengganas dan berikrar untuk melindungi sistem pemerintahan negara.- AGENSI











